Dua gajah ditangkap dalam tempoh seminggu

Sunday, July 29, 2018

Dua gajah ditangkap dalam tempoh seminggu

Dua gajah ditangkap dalam tempoh seminggu

JELI - Dua gajah berjaya ditangkap Jabatan Perhilitan Jeli dalam tempoh seminggu dalam operasi berasingan di Kampung Jerek dan Salor, Batu Melintang di sini.

Pengarah Jabatan Perhilitan Kelantan, Mohd Hasdi Husin berkata, tangkapan pertama melibatkan gajah jantan seberat 2.5 tan di Kampung Jerek, Ahad lalu.

"Gajah jantan dengan saiz tapak kaki 14 inci itu ditemui penduduk kampung di dusun durian milik mereka sebelum menghubungi kakitangan Jabatan Perhilitan Jeli kira-kira jam 7 pagi hari kejadian.

"Bertindak atas laporan, lima anggota digerakkan ke lokasi untuk operasi menangkap mamalia berkenaan," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Hasdi berkata, gajah berumur lingkungan 12 hingga 18 tahun itu dikatakan berkeliaran di sekitar kawasan berkenaan seminggu sebelum ditangkap.

Menurutnya, setiap kali musim buah, banyak aduan mengenai kehadiran mamalia berkenaan.

"Seekor lagi gajah ditangkap di Kampung Salor semalam selepas dikatakan memasuki kawasan kebun penduduk.

"Gajah betina seberat tiga tan itu ditangkap kira-kira jam 9.20 pagi oleh lima kakitangan Jabatan Perhilitan Jeli yang menjalankan operasi di kawasan berkenaan. Sebelum itu, dalam jam 7.10 pagi kita terima aduan daripada penduduk memaklumkan tentang kehadiran gajah berkenaan," katanya.

Menurutnya, kedua-dua gajah yang memasuki kebun penduduk itu dipercayai datang dari Hutan Simpan Gunung Basor.

Katanya, buat waktu ini, gajah berkenaan diikat dengan rantai besi di kawasan kebun berhampiran dan dipantau kakitangan Perhilitan dari semasa ke semasa.

"Kita akan pindahkan gajah-gajah ini ke Taman Negara Sungai Deka dalam masa terdekat. Sekarang sedang tunggu gajah denak dari Pusat Konservasi Kuala Gandah tiba di Jeli," katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment