Peletakan jawatan Lembaga Pengarah Khazanah perkara biasa
SHAH ALAM - Tindakan sembilan ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad termasuk Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar meletakkan jawatan sebenarnya adalah fenomena biasa dalam soal korporat.
Penganalisis ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, ia tidak akan menjejaskan apa-apa kesan kepada negara dan juga sektor ekonomi cuma apa yang dibimbangkan adalah melibatkan pemain-pemain besar dalam industri itu yang dipersoalkan.
Menurutnya, termasuklah adakah negara tidak kehilangan bakat-bakat besar kerana membenarkan sembilan ahli meletakkan jawatan sekali gus.
"Saya fikir tidak ada kesan apa-apa dan kitapun melihat Khazanah ini sudah mencapai satu tahap kecemerlangan yang tinggi mengumpul kekayaan sebanyak lebih RM120 billion.
"Tetapi akhir-akhir ini kita lihat pengarah urusan dan ahli lembaganya sudah ketandusan idea apabila melibatkan projek-projek yang berkemungkinan boleh dipersoalkan dari segi sumbangan masa depan," katanya kepada Sinar Harian.
Barjoyai berkata, mungkin tiba masanya negara membawa tokoh baharu yang mempunyai bakat baru, kepakaran baru dan idea-idea yang baik untuk menerajui khazanah pula.
Katanya, kebetulan ini bersesuaian dengan negara yang sedang berhijrah menuju kepada era ekonomi baru, industri 4.0 di mana negara memerlukan kepakaran baharu.
"Kumpulan pengarah yang sedia ada ini mungkin tidak mempunyai kemahiran dan kepakaran yang baru, ini memang berbeza dengan apa yang wujud di masa depan dan yang lepas.
"Saya fikir ia adalah satu jalan terbaik yang sudah diaturkan dan berharap kerajaan dapat melantik bakat-bakat baru terutama dalam kumpulan orang muda yang mempunyai kepakaran baru dalam bidang industri 4.0, dan lebih baik dari kumpulan sebelum ini," katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Lembaga Pengarah Khazanah letak jawatan]
Sebelum ini, Khazanah Nasional Berhad mengesahkan semua sembilan ahli lembaga pengarah termasuk Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar telah meletakkan jawatan.
Langkah tersebut adalah bagi memudah cara peralihan yang lancar dan teratur di bawah kerajaan baharu.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment