Dua tokan dadah diberkas di Ulu Cheka

Tuesday, July 31, 2018

Dua tokan dadah diberkas di Ulu Cheka

Dua tokan dadah diberkas di Ulu Cheka

JERANTUT- Polis berjaya menumpaskan pengedaran dadah di sekitar Ulu Cheka dan Batu Balai, apabila memberkas dua lelaki dalam serbuan berasingan menerusi Ops Tapis, pagi semalam

Dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Perlok, Ulu Cheka,seorang lelaki berusia 49 tahun ditahan di sebuah rumah di kampung tersebut kira-kira jam 6 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah,Deputi Superitendan Zainal Omar Mahamud berkata, sepasukan pegawai dan anggota bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Jerantut bersama anggota polis Batu Balai menahan lelaki yang bekerja sebagai buruh di rumah tersebut.

Menurutnya, hasil serbuan dan pemeriksaan lanjut menjumpai dadah jenis heroin seberat 8.67 gram dan syabu (0.39 gram) di dalam beg milik suspek tersebut.

"Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM500 dan siasatan mendapati suspek bergiat aktif di sekitar Ulu Cheka dan Batu Balai sejak dua tahun lalu.

Hasil ujian awal saringan air kencing, suspek positif dadah jenis methamphetamine. Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut," katanya dalam sidang media di IPD Jerantut,hari ini.

Menurutnya, suspek mempunyai tiga rekod lampau iaitu dua rekod kesalahan dadah dan satu rekod jenayah.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952,"katanya lagi.

Sementara itu dalam serbuan berasingan, seorang penoreh getah  diberkas di sebuah rumah di kampung sama kira-kira jam 7 pagi.

Zainal memberitahu, suspek berusia 30 tahun dan masih bujang itu sedang leka membungkus dadah di belakang rumah tersebut.

"Hasil pemeriksaan lanjut,kita menjumpai dadah jenis heroin seberat 15.70 gram dan syabu (1.96 gram) dengan nilai keseluruhan kira-kira RM1,000.

"Suspek aktif mengedar dadah di sekitar Ulu Cheka dan baru berjinak dalam kegiatan itu sejak lima bulan lalu," jelasnya.

Menurutnya,suspek juga positif dadah jenis methamphetamine(syabu) selepas ujian awal saringan air kencing.

"Suspek mempunyai empat rekod lampau iaitu dua rekod dadah dan selebihnya jenayah dan telah ditahan untuk siasatan lanjut," jelasnya kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment