[VIDEO] Yang di-Pertuan Agong berkenan hadir Istiadat Sambutan Hari Pahlawan

Monday, July 30, 2018

[VIDEO] Yang di-Pertuan Agong berkenan hadir Istiadat Sambutan Hari Pahlawan


Istiadat perbarisan dimulakan dengan perarakan masuk Panji-panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Panji-panji Rejimen dari Batalion Pertama, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) oleh Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat.

Sejurus keberangkatan tiba baginda, Lagu ‘Negaraku’ dimainkan dengan disertai 21 das tembakan meriam kehormatan yang disempurnakan oleh 41 Bateri Istiadat, Rejimen Artileri Diraja diketuai oleh Mejar Mohd. Asri Che Wil.

Yang turut hadir Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Selain itu, yang turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Istiadat perbarisan dijayakan oleh gabungan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu perbarisan statik tanpa senjata yang terdiri daripada enam detasmen dengan kekuatan sebanyak 46 pegawai dan 823 anggota lain-lain pangkat.-UTUSAN ONLINE



sumber: utusan

0 comments:

Post a Comment