Kafe Pendidikan Khas di Melaka
MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri bercadang mewujudkan sebuah lokasi bagi projek keusahawanan kek dan roti khusus pelajar-pelajar pendidikan khas di negeri ini.
Exco Pendidikan, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka, Noor Effendi Ahmad berkata, projek berkonsepkan kafe, akan menjadi medium mengasah bakat dan kemahiran golongan orang kurang upaya (OKU) termasuk autisme mengikut kelebihan masing-masing selain mampu berdikari biarpun selepas tamat persekolahan.
Menurutnya, projek yang akan dibangunkan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Pusat Serantau Pertubuhan Menteri-menteri Pelajaran Asia Tenggara mengenai Pendidikan Khas (SEAMEO SEN) menerapkan pelbagai ilmu keusahawanan dari segi pengurusan, pemasaran, pembuatan kek dan roti serta kemahiran komunikasi.
"Tentang lokasi kita akan melihat kawasan yang sesuai sama ada berhampiran dengan UTeM atau sebaliknya.
"Bagaimanapun saya akan melihat kertas kerja dari kedua-dua pihak terlebih dahulu sebelum
sebarang keputusan muktamad dibuat kerana kita menganggap projek ini begitu baik untuk anak-anak istimewa di negeri ini," katanya.
Noor Effendi berkata demikian kepada pemberita selepas Program Ramah Mesra Profesor UTeM bersama Seameo Sen dan Anak-anak Pendidikan Khas di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu Melaka, Durian Daun di sini, tadi.
Hadir sama, Pengerusi Majlis Profesor UTeM, Datuk Dr Abu Abdullah; Pemangku Pengarah Sameon Sen, Dr Safani Bari dan Pengarah IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka, Siti Norkiah Idris.
Sementara itu Abu berkata, pihaknya pernah mencadangkan kafe tersebut dinamakan Love Flavoured Bakery dan berharap syarikat-syarikat korporat turut bersama menyumbang untuk merealisasikan kafe tersebut.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment