Jadi mangsa rakan sendiri

Monday, July 30, 2018

Jadi mangsa rakan sendiri

Jadi mangsa rakan sendiri

KUANTAN - Niat baik membantu rakan yang kesempitan kerana masalah perniagaan memakan diri sendiri apabila wang RM127,000 yang dipinjamkan tidak dibayar malah dia juga menjadi mangsa peras ugut rakannya itu.

Mangsa berusia 30 tahun dari Bentong yang bimbang keselamatan diri dan keluarga terancam, membuat laporan polis di Balai Polis Bentong, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek berusia 25 tahun menghubungi mangsa meminta bantuan untuk meminjamkan wang RM2,000 pada 24 April lalu bagi  menyelesaikan masalah perniagaannya.

Menurutnya, mangsa  sedia membantu dan memasukkan wang seperti diminta ke dalam akaun atas nama lelaki lain  yang diberikan suspek.

“Lelaki itu mendakwa pemilik akaun merupakan rakan kongsinya.

“Sejak itu, suspek sering menghantar pesanan atau menelefonnya meminta pinjam wang dan mangsa sentiasa akur dengan  permintaan rakannya itu,” katanya.

Mohd Wazir berkata, dalam tempoh 25 April hingga 25 Julai lalu, suspek telah meminjam sebanyak 13 kali dengan mangsa antara RM2,000 hingga 20,000 membabitkan jumlah keseluruhan hutang RM127,000.

“Mangsa beberapa kali menuntut hutangnya namun suspek langsung tidak membayarnya sebaliknya memberi pelbagai alasan termasuk meminta tempoh untuk menjelaskannya.

“Sehinggalah pada 27 Julai lalu, mangsa menerima pesanan daripada suspek melalui wechat meminta dia memasukkan wang RM40,000 ke dalam sebuah akaun dalam tempoh yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata, semalam suspek sekali lagi lagi menghubungi mangsa meminta wang itu dimasukkan segera malah turut mengugut akan melakukan sesuatu jika kehendakknya itu tidak dituruti.

“Bimbang dengan ugutan itu, mangsa membuat laporan polis dan kita siasat kes ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment