Tak patut sembunyi sejarah pejuang haluan kiri

Monday, July 30, 2018

Tak patut sembunyi sejarah pejuang haluan kiri

Tak patut sembunyi sejarah pejuang haluan kiri

KUALA LUMPUR - Tidak wajar perjuangan pejuang berhaluan kiri dipadamkan daripada memori kolektif rakyat Malaysia.

Aktivis dan juga Peguam, Fadiah Nadwa Fikri dalam forum Perlukah Menulis Semula Buku Sejarah, menjelaskan cadangannya meminta semua peristiwa sejarah yang berlaku dalam proses menuju kemerdekaan dimuatkan dalam buku teks Sejarah.

"Kita bercakap (dalam forum) berkenaan tentang sejarah kiri. Maknanya semua tentang sejarah yang telah berlaku di Malaysia, yang telah dipadamkan daripada memori kolektif kita.

"Jadi, untuk kita belajar tentang sejarah (kita) kena tahu semua peristiwa-peristiwa ini.Kenapa hanya ada satu sahaja naratif yang diberikan dalam buku teks?

Sepatutnya, kita kena berlaku adil dengan semua orang yang terlibat dalam proses sejarah," jelasnya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, beliau meminta agar kerajaan mempertimbangkan syornya agar fakta sejarah membabitkan perjuangan golongan kiri juga dimasukkan dalam buku teks .

"Proses ini penting untuk kita berfikir secara kritikal termasuk juga untuk pelajar-pelajar berfikir secara kritis bagi memahami sejarah apa yang terjadi dan mengapa sejarah itu terjadi?

"Jadi kenapa kita perlu sembunyikan? Ini fakta yang telah berlaku dan tak boleh dipadam, termasuk juga daripada memori semua sejarah kiri," tegasnya.

Saranan berkaitan hal ini turut mencuri perhatian, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan kerajaan masih belum mengkaji cadangan berkenaan, iaitu memasukkan fakta perjuangan kemerdekaan golongan berhaluan kiri termasuk Parti Komunis Malaya (PKM) dalam buku Sejarah.

Bagaimanapun, Dr Mahathir menjelaskan, saranan ini bukan berniat untuk mempromosikan perjuangan komunis sebaliknya lebih kepada maksud komunis, kapitalis, demokrasi dan kleptokrasi untuk dipelajari dan difahami.

[Artikle berkaitan: Bezakan perjuangan rakyat dan komunis]



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment