Kes saman Abu Ameenah, Zamihan selesai
KUALA LUMPUR â" Saman fitnah difailkan pendakwah dari Kanada, Abu Ameenah Bilal Philips terhadap pendakwah tempatan Zamihan Mat Zin berhubung posting bergambar dalam Facebook yang didakwa menggambarnya (Abu Ameenah) sebagai penyokong keganasan selesai selepas Zamihan bersetuju untuk memohon maaf.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim merakamkan penghakiman persetujuan itu dalam kamar di hadapan peguam Meor Amir Meor Omar Baki yang mewakili Abu Ameenah dan Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Zamihan.
Meor Amir memberitahu bahawa defendan (Zamihan) bersetuju membuat kenyataan memohon awam awam secara terbuka yang akan disiarkan melalui Facebook dalam tempoh dua hari bermula hari ini.
âDefendan juga bersetuju untuk menarik balik posting fitnah dengan serta merta dan mahkamah membenarkan perintah injunksi menghalang defendan daripada bercakap atau menerbitkan atau dipaksa menerbitkan atau memfitnah plaitif secara lisan atau secara bertulis,â katanya.
Peguam itu berkata defendan telah bersetuju untuk membayar ganti rugi yang tidak dinyatakan kepada plaintif dan kos keselamatan sebelumnya sebanyak RM30,000 dipulangkan kepada plaintif.
Kos keselamatan boleh dikenakan jika plaintif dalam saman itu adalah bukan warganegara dan jika bimbang bahawa beliau tidak mampu membayar kos jika mahkamah membuat keputusan yang tuidajk memihak kepadanya.
Pada 29 Sept, 2017, Abu Ameenah memfailkan saman terhadap Zamihan, 41, kerana mendakwa pendakwah tempatan itu telah pada 26 Nov, 2016, memuatnaik gambarnya beserta kapsyen âInternational terrorism supporter allowed to preach in Perlisâ dalam Facebook Ustaz Zamihan Al-Ghari .
Abu Ameenah mendakwa posting itu juga memaparkan poster Kuliah Khas Maghrib yang dijadual disampaikan di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar, Perlis pada 1 Dis, 2016.
Pendakwah dari Kanada itu mendakwa bahawa perkataan itu, antara lain, membawa maksud bahawa dia terlibat dengan âterrorismâ dan keganasan dan akan menyampaikan ceramah untuk mempromosikan keganasan kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.
Selain boleh diakses oleh pengguna lain, posting itu juga telah dikongsi oleh 119 pengguna Facebook yang lain, katanya.
Abu Ameenah memohon perintah mahkamah untuk Zamihan memohon maaf secara terbuka kepadanya dengan menyiarkan kenyataan mohon maaf dalam akhbar pilihannya dan melalui Facebook Ustaz Zamihan Al-Ghari, dan juga menarik balik posting tersebut.
Beliau juga memohon perintah injunksi untuk menghalang Zamihan daripada menerbitkan semula posting itu selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk berjumlah lebih RM1 juta, faedah dan kos serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Dalam kenyataan bela diri yang difailkan pada 19 Okt, 2017, Zamihan berkata beliau tidak tahu mengenai posting itu yang tersebar dalam Internet.
Zamihan juga menegaskan bahawa kenyataan mengenai posting tersebut tidak berbaur fitnah kerana apa yang dinyatakan adalah fakta.
Beliau mendakwa ada alasan yang munasabah untuk mengesyaki atau mempercayai bahawa Abu Ameenah terlibat dalam menyokong keganasan kerana maklumat itu terkandung dalam akhbar National Post dan juga oleh polis.
Abu Ameenah kemudian memberitahu pemberita bahawa beliau gembira perkara itu diselesaikan dengan cara yang baik.
âIa menyentuh isu tuduhan palsu dan salah faham. Saya tidak mempunyai kaitan dengan keganasan. Malah, Islamic State (IS) telah menjadikan saya sebagai sasaran dan saya berada dalam âhit listâ mereka,â kata beliau.
Zamihan pula memohon maaf atas salah faham yang timbul akibat posting yang dibuatnya dan menyatakan beliau tidak mempunyai sebarang masalah peribadi atau pertikaian pendapat dengan Abu Ameenah. - Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment