Henti atau teruskan bauksit

Sunday, July 29, 2018

Henti atau teruskan bauksit

Henti atau teruskan bauksit

KUANTAN - Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar perlu menyatakan pendirian segera mereka berhubung isu moratorium bauksit yang sepatutnya berakhir 30 Jun lalu.

Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah berkata, ini kerana Kerajaan Pusat belum mengeluarkan sebarang keputusan berhubung perkara itu.

Menurutnya, majoriti peneroka Felda Bukit Goh berharap kerajaan PH dapat memberi penjelasan berhubung status untuk tanam semula kelapa sawit yang dijadualkan pada tahun 2020.

"Saya akan bangkitkan perkara ini esok (hari ini) dalam sidang Dewan Rakyat memandangkan kita belum nampak kesungguhan PH cari jalan bagi menyelesaikan isu ini (moratorium) dalam masa terdekat.

"Sudah pasti perkara ini menyusahkan pemilik tanah yang terbabit dengan aktiviti perlombongan bauksit sebelum ini... kalau arahan jelas bahawa ia (moratorium) diteruskan, maka mereka (pemilik tanah) boleh berbincang dengan pengusaha lombong bauksit... jika sudah tidak boleh diteruskan, lebih baik mereka mulakan proses tanam semula kelapa sawit atau tanaman lain yang dapat memberikan hasil pendapatan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Dialog Bersama Penduduk Taman Bukit Goh Perdana, di sini, semalam.

Turut hadir sama Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bukit Goh Perdana, Abd Latif Ab Wahab.

Kira-kira 100 penduduk hadir pada majlis berkenaan.

Mohd Shahar berkata, selagi tidak ada keputusan atau pendirian tegas daripada PH, sudah pasti peneroka bakal berdepan masalah.

"Sebab itu kena ada pendirian dan keputusan muktamad oleh kerajaan PH dalam isu ini... saya sebagai ahli Parlimen kawasan ini akan terus memperjuangkan nasib mereka... tidak perlulah kita nak salahkan keputusan dibuat kerajaan sebelum ini, kerana kita bertindak demi kesenangan semua rakyat.

"Kalau isu ini tidak dapat diselesaikan segera, segala perancangan Felda untuk peneroka Bukit Goh juga akan terganggu... tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan dan akhirnya akan menyusahkan seramai 677 warga peneroka yang menetap di sini," katanya.


 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment