Galak belia pelajari bidang kemahiran

Sunday, July 29, 2018

Galak belia pelajari bidang kemahiran

Galak belia pelajari bidang kemahiran

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor menggalakkan golongan belia mempelajari kursus latihan kemahiran untuk mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan dalam beberapa bidang khusus.

Exco Kepenggunaan,Sumber Manusia dan Perpaduan,Dr S Ramakrishnan berkata, rakyat di negeri ini juga tidak perlu berhijrah ke tempat lain untuk mendapatkan pekerjaan dengan syarat mereka perlu bersikap terbuka dalam mendapatkan kerjaya dan mempunyai kemahiran pelbagai.

Menurutnya, kerajaan berusaha menyediakan peluang pekerjaan dan latihan kemahiran kepada rakyat negeri ini terutama kepada golongan belia dan pelajar lepasan sekolah bagi menumpukan pertumbuhan ekonomi negeri.

รข€œSaya percaya, rakyat Johor tidak perlu berhijrah dengan syarat tidak memilih pekerjaan kerana kita bukan sahaja mahukan pertumbuhan ekonomi melahirkan pekerjaan, tetapi juga menyediakan mereka peluang untuk dilatih.

"Pada masa ini banyak kursus kemahiran baru yang diwujudkan dan yang penting lepasan sekolah ini tidak terus bekerja tetapi terus mengambil sijil latihan kemahiran.

"Inilah bezanya pekerja tempatan dengan pekerja asing yang mana pekerja kita mempunyai sijil latihan kemahiran yang kursus untuk bidang yang diceburi," katanya dalam sidang media selepas program pendidikan dan kerjaya swadaya insan negeri Johor siri 4/2018 di Dewan Ibnu Khaldun, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mohd Khalid, di sini, semalam.

Hadir sama Pengurus Besar Unit Swadaya Insan negeri, Dr Khalid Yusof.

Dalam pada itu, Ramakrishnan berkata, pihaknya telah mengarahkan Unit Swadaya Insan negeri yang bertindak sebagai pusat sehenti mencari pekerjaan untuk mengemaskini data dan mengenal pasti bidang yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran.

Menurutnya, sehingga kini bidang perhotelan dan kecantikan menjadi tumpuan dan banyak peluang pekerjaan dalam bidang tersebut.

"Bagaimanapun, Unit Swadaya Insan kini sedang menaiktaraf sistem data dan akan mengadakan kolaborasi dengan pihak kerajaan persekutuan, agensi swasta dan awam bagi melihat keperluan semasa," katanya.

Apabila ditanya mengenai tawaran PH untuk menyediakan 200,000 peluang pekerjaan, Ramakrishnan berkata, pihaknya masih meneliti dan akan melihat pelaburan yang boleh menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyat.

"Penawaran peluang pekerjaan itu adalah untuk seluruh negara dan akan pastikan ianya untuk rakyat tempatan. Unit Swadaya Insan akan buat kajian mengenai peluang pekerjaan ini dan mengikut permintaan semasa.

"Dalam masa lima tahun ini kita akan lihat dan cuba untuk mengurangkan pengambilan warga asing," katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment