Hanya nelayan yang layak dapat elaun insentif

Saturday, July 28, 2018

Hanya nelayan yang layak dapat elaun insentif

Hanya nelayan yang layak dapat elaun insentif

ALOR SETAR - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan melaksanakan proses pemutihan bagi memastikan hanya nelayan  layak menerima elaun sara hidup dan insentif daripada kerajaan.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, langkah itu  untuk memastikan tiada mana-mana nelayan yang tidak turun ke laut terus mendapat manfaat daripada bantuan dan insentif.

“Kementerian akan membuat pemutihan dengan menggunakan mekanisme terbaik seperti wakil rakyat di kawasan Parlimen dan Dun, ketua kampung, tok penghulu serta persatuan nelayan untuk membuat bancian bagi mengetahui jumlah sebenar nelayan  seluruh negara.

“Langkah ini untuk memastikan tiada nelayan dizalimi. Ini kerana terdapat mereka yang sebenarnya bukan nelayan turut mendapat bantuan daripada kerajaan,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Nelayan Kuala Kedah di sini, semalam.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Katanya, pihak kementerian mahu melakukan bancian untuk mengetahui jumlah sebenar nelayan baru supaya bantuan disalurkan menepati tujuan pihak kementerian meningkatkan pendapatan golongan ini.

Salahuddin meninjau pusat IQF di LKIM Kuala Kedah.

“Dalam kerajaan baru ini , kita mengharapkan persatuan nelayan juga benar-benar membela dan memperjuangkan kebajikan nelayan. Di seluruh Malaysia, terdapat seramai 107,000 nelayan berdaftar perlu dibuat pemutihan,” katanya.

Dalam pada itu, Salahudin turut nelayan di negara ini supaya melakukan nilai tambah bagi meningkatkan pendapatan dengan membabitkan diri dalam pertanian.

“Di kementerian, kita ada banyak insentif pertanian misalnya untuk tanaman nanas yang mungkin boleh diusahakan kerana boleh ditanam dengan mudah dan mempunyai harga pasaran yang bagus.

“Selain itu, terdapat teknologi fertigasi yang lebih mudah tanpa memerlukan kawasan yang luas tapi hasilnya boleh dijual dan mendatangkan keuntungan. Ini boleh menjadi nilai tambah kepada nelayan untuk meningkatkan taraf hidup,” katanya.

Semalam, lebih 500 Kuala Kedah menghadiri Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Nelayan Kuala Kedah  di Pelabuhan LKIM di sini, petang semalam.

Perjumpaan buat pertama kali selepas Salahuddin  dilantik Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, di bawah kepimpinan Kerajaan Pakatan Harapan yang terbentuk pada PRU14, lalu.

Selepas ucapan, beliau menyampaikan Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan dan Elaun  Sara Hidup Nelayan kepada nelayan Kuala Kedah.

Selain itu, beliau turut  menyampaikan cek replika Bantuan Touch Point untuk Peralatan Pemprosesan Industri Asas Tani serta Bantuan Touch Point Projek Akuakultur.

Terdahulu, beliau turut meninjau keadaan ke  Pusat pembekuan ikan menggunakan teknologi Individual Quick Frozen (IQF).



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment