Bilik rahsia dalam pusat snoker
SUBANG JAYA - Di depan premis tertera papan iklan pusat snoker namun di dalamnya tersembunyi dua bilik rahsia khas untuk aktiviti perjudian.
Perkara itu terbongkar apabila 10 pasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menjalankan serbuan Ops Dadu Khas di sekitar Subang Jaya, lewat malam tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Azlin Sadari berkata, pihaknya memeriksa 39 premis termasuk pusat siber, pusat snoker, restoran, rumah kedai dan kawasan perindustrian yang sebelum ini pernah dikenal pasti menjalankan aktiviti judi haram atas talian.
Menurutnya operasi bermula jam 11 malam dan berakhir kira-kira jam 5 pagi tadi bertujuan membanteras aktiviti judi haram di kawasan pentadbiran IPD Subang Jaya.
Hasil pemeriksaan dilakukan tujuh pegawai dan 33 anggota menemui sebuah premis pusat snoker yang mempunyai dua bilik rahsia di PJS 11/2 Bandar Sunway dekat sini.
"Polis syak ia digunakan sebagai tempat jalankan aktiviti judi haram. Tiga warga asing yang dakwa sebagai penjaga premis ditahan selain 10 komputer riba dirampas," katanya.
Beliau berkata, hasil serbuan seterusnya mendapati sebuah lagi premis disyaki menjalankan aktiviti perjudian di, Subang Hi-tech Pinggiran USJ.
Katanya, kegiatan dijalankan di tingkat dua bangunan lot kedai tiga tingkat.
"Pemerhatian dapati premis ini tiada sebarang pergerakkan orang keluar masuk namun aktiviti judi disyaki berlaku di tingkat dua premis.
"Namun tak dapat dipastikan bila kegiatan terakhir dijalankan berikutan pintu dikunci dari luar dan terdapat satu notis waran ditampal di luar pintu premis," katanya.
Mohammad Azlin berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan bagi mengekang aktiviti perjudian di kawasan Subang Jaya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment