Terima peletakan jawatan Khazanah

Saturday, July 28, 2018

Terima peletakan jawatan Khazanah

Terima peletakan jawatan Khazanah

SEORANG pembahas blog saya yang menggunakan nama samaran “A New Cat” berkata, antara lain, bahawa 'tawaran' ahli lembaga pengarah Khazanah Berhad meletakkan jawatan secara beramai-ramai adalah tindakan 'remeh dan dendam'.

Namun beliau mengakui bahawa bukan semua pengarah yang terlibat tidak baik. Sesetengah daripada mereka sekadar memanaskan kerusi manakala yang lain hanya menurut tindakan ketua. Langkah mereka menawar untuk meletak jawatan, kata beliau lagi, akan menguatkan kedudukan perdana menteri, Kabinet, dan menteri.

Saya tertarik dengan ulasan beliau kerana ahli lembaga pengarah Khazanah Berhad itu tidak meletakkan jawatan. Mereka sekadar menawarkan untuk meletakkan jawatan.

Bila mereka menggunakan istilah 'menawarkan' maka secara automatik tercetus unsur tawar-menawar. Mereka tidak meletakkan jawatan tetapi sekadar menawarkan untuk meletakkan jawatan.

Bagi saya mudah saja. Kerajaan tidak perlu terseret untuk tawar-menawar dengan mereka. Terima sajalah tawaran mereka untuk berhenti. Orang memberi kita merasa orang berbudi kita berbahasa.

Kalau sekiranya ada di antara mereka yang sangat bagus, tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan dan menjalankan tugas (fiduciary duties) dengan baik, kerajaan boleh melantik mereka semula.

Perlu diingatkan yang ada di antara mereka baru sahaja dilantik untuk mengetuai badan-badan berkaitan kerajaan yang lain. Jika ada kegagalan fidusiari atau perbuatan jenayah, kita wajib pisahkan beras daripada hampas.

Saya kenal banyak daripada mereka secara peribadi. Ada yang saya kenal sudah lebih dari 30 atau 40 tahun. Malah ada yang sama belajar di luar negara. Tetapi ini bukan soal kenal atau tidak. Ini soal kepentingan negara kerana kegiatan Khazanah melibatkan modal yang sangat besar - hampir RM90 bilion â€" tetapi tidak menjana pulangan yang cukup memuaskan.

Kemudian kita dengar mengenai pelaburan yang hilang begitu saja atau eksekutif yang dibayar gaji luar biasa besarnya. Pada 7 Julai lepas, akhbar perdagangan “The Edge Market” melaporkan yang ketua pegawai eksekutif IHH Healthcare Berhad yang berupa anak syarikat Khazanah dibayar gaji RM33.9 juta setahun.

Saya amat yakin bahawa para pengarah Khazanah itu tahu bahawa kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) tahu apa yang telah dan sedang berlaku dalam organisasi strategik itu.

Khazanah adalah antara syarikat dan tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLC-GLIC) yang paling awal dipanggil untuk memberi bantuan dalam siasatan Majlis Penasihat Ekonomi (Council of Eminent Persons).

Majlis itu ditubuhkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebaik saja mengangkat sumpah awal Mei lalu. Maaf cakaplah kalau saya kata, langkah ahli lembaga pengarah Khazanah itu seolah-olah hendak menguji atau mencabar pendirian CEP dengan tidak meletak jawatan tetapi sekadar menawar untuk meletak jawatan.

Saya kata sekali lagi, terima sajalah tawaran mereka. Bukan apa tapi sudah banyak pengerusi dan eksekutif kanan GLC-GLIC yang telah meletak jawatan atau menghantar surat mengatakan mereka akan meletakkan jawatan bila kontrak mereka tamat. Berilah peluang kepada kerajaan baharu untuk membuat keputusan dan melantik sesiapa yang ia mahu.

Apa yang hendak dihairankan sangat. Bila Perdana Menteri Barisan Nasional (BN) bertukar pun ramai pengerusi, ahli lembaga pengarah dan eksekutif kanan GLC-GLIC, jabatan dan agensi digugurkan dan orang baharu dilantik.

Inikan pula apabila BN kalah dan PH mengambil alih pentadbiran negara. Mereka yang dilantik oleh kerajaan lama tentulah tahu yang kedudukan mereka akan dipertimbangkan semula, apatah lagi jika mereka adalah lantikan politik.

Yang saya rasa lebih penting adalah mencari pengganti yang berwibawa yang tidak dicemarkan oleh korupsi harta benda dan minda oleh kerajaan dahulu.

Alhamdulillah kita masih ada banyak orang baik yang boleh mengambil alih. Ini telah pun berlaku di Permodalan Nasional Berhad (PNB), Bank Negara dan beberapa buah agensi lain.

Sama pentingnya adalah kita mengambil tindakan ke atas pihak-pihak yang terlibat dengan perbuatan jenayah dan kegagalan menjalankan tanggungjawab fidusiari, sama ada berseorangan atau berkumpulan.

Rakyat jelata dan pembayar cukai wajib dilindungi daripada serigala korporat seperti yang digambarkan dalam filem Hollywood “The Wolf of Wall Street” terbitan bersama Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri bekas Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak.

Kita tidak mahu lagi musang berbulu ayam mengaut kekayaan di atas belakang rakyat jelata. Kerajaan baharu PH memikul mandat yang sangat berat dan wajib diberikan peluang mengatasi kerosakan yang ditinggalkan oleh kerajaan dahulu. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin Tokoh Wartawan Negara

 

 

 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment