Projek luar bandar beri impak positif kepada rakyat

Sunday, July 1, 2018

Projek luar bandar beri impak positif kepada rakyat

Projek luar bandar beri impak positif kepada rakyat

ALOR SETAR - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan memberi keutamaan kepada projek-projek luar bandar yang hanya memberi impak positif kepada rakyat, kata menterinya, Rina Mohd Harun.

Beliau berkata, kementerian akan mengkaji semula beberapa projek yang kini tertangguh dan akan melaksanakan projek-projek yang benar-benar menguntungkan rakyat tertakluk kepada tahap kewangan semasa negara.

"Kita akan laksanakan projek yang tertangguh itu tetapi perlu lihat tahap kewangan semasa negara, namun sekiranya projek tersebut bakal memberi impak secara langsung kepada rakyat ia akan menjadi keutamaan kementerian.

"Beberapa projek juga sedang dipertimbangkan dan akan diumumkan bulan ini...akan ada berita gembira juga buat rakyat Kedah," katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir di pejabatnya di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beliau, bagaimanapun berkata terdapat beberapa projek yang tertangguh bukan disebabkan kewangan, sebaliknya dari segi keperluan dan kepentingan kepada rakyat.

Rina berkata, kerajaan juga mengambil iktibar daripada keputusan kerajaan terdahulu sebelum membuat pengumuman mengenai sesuatu projek yang hendak dijalankan supaya ia memberi manfaat kepada rakyat.

"Kalau ada sebarang pengumuman (projek) atau insentif perlu beri manfaat kepada rakyat. Kita tidak mahu banyak pengumuman tetapi rakyat di bawah tidak dapat merasa pelaksanaannya," katanya.

Dalam pada itu, Rina yang mengadakan lawatan rasmi ke Kedah selama dua hari bermula semalam, berkata pihaknya juga menerima aduan mengenai jalan-jalan di luar bandar yang memerlukan bantuan daripada kerajaan Persekutuan.

"Hasil lawatan semalam, kita dapat aduan mengenai jalan luar bandar yang perlukan perhatian antaranya di Pendang, Kubang Pasu, Jerlun dan Kulim. Jadi, pihak kementerian akan turun dan siasat, kalau benar beri kepentingan kepada rakyat ia akan dilaksanakan.

"Banyak perkara lain yang turut dibincangkan bersama Menteri Besar Kedah bagi menjalinkan kerjasama yang erat kerana kita di pihak kementerian berhasrat untuk mensejahterakan pembangunan luar bandar di negeri ini,รข€ katanya.

Sementara itu, Mukhriz berkata, kerajaan negeri akan memberi kerjasama kepada pihak kementerian untuk melihat semula senarai projek yang ada bagi melihat keutamaan untuk perlaksanaannya.

"Kita akan tengok projek mana yang penting. Sebelum ini, ada projek bukan atas permintaan rakyat tetapi dicadangkan atas sebab lain oleh kerajaan terdahulu. Kalau ada projek seperti itu, kita akan tangguhkan dahulu dan beri keutamaan kepada projek yang diminta rakyat.

"Kerajaan negeri tidak mempunyai banyak sumber seperti gas dan minyak jadi banyak benda yang kita perlu bantuan daripada pihak kementerian," katanya.

Sementara itu, Rina turut mengumumkan pelantikan Mukhriz sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) baharu, yang sebelum ini disandang bekas menteri besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. - Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment