Perhalusi kejayaan di Selama, Kubu Gajah

Sunday, July 29, 2018

Perhalusi kejayaan di Selama, Kubu Gajah

Perhalusi kejayaan di Selama, Kubu Gajah

IPOH - Muktamar Pemuda Pas Perak pada 5 Ogos ini menjadi platform kepada perwakilan bermuhasabah dalam melihat pencapaian parti berkenaan di pentas PRU14, Mei lalu.

Ketua Pemuda Pas Perak, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, seramai 192 perwakilan daripada 24 kawasan bakal hadir pada muktamar yang akan diadakan di Dewan Majlis Daerah Selama.

“Perwakilan akan bermuhasabah pencapaian Pemuda Pas khususnya di Perak semasa PRU14 bagi membolehkan kita menggariskan perjalanan Pemuda Pas untuk lebih berjaya pada PRU15.

“Muktamar kali ini juga akan mengambil semangat Pemuda Pas di Dun Selama dan Kubu Gajah yang berjaya menarik minat golongan muda mengundi Pas PRU lalu hingga beroleh kemenangan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Tambahnya, kejayaan Pas memenangi kerusi di dua Dun tersebut membuktikan slogan ‘Orang Muda Pilih Pas’ yang dilancarkan semasa Perhimpunan Pemuda Pas Perak 2016 memberi impak positif dan perlu diperhalusi setiap perwakilan.

“Kita akan membawa perkara ini dalam muktamar perwakilan Pemuda supaya mereka mengambil semangat Pas di Selama dan Kubu Gajah untuk dibawa ke kawasan masing-masing.

“Selain itu, saya juga harap perwakilan yang hadir dapat berbahas dan melontarkan idea terbaik untuk perancangan yang lebih baik bagi PRU15 nanti,” katanya.

Menurut Mohd Akmal, muktamar Pemuda kali ini juga akan dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selepas kejayaan Pas di negeri tersebut mendapat sokongan daripada golongan muda.

“Kita juga mahu mengambil semangat kemenangan orang muda kebanyakan saluran pengundi muda di Terengganu yang mengundi Pas hingga mencapai kemenangan di sana,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment