Lemas tak sempat jamah durian

Saturday, July 21, 2018

Lemas tak sempat jamah durian

Lemas tak sempat jamah durian

HULU BESUT - Hasrat seorang murid Tahun 1 Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Raja untuk menikmati durian di dalam dusun tidak kesampaian apabila dia ditemui mati lemas, pagi tadi.

Mangsa, Anas Altaf Mustafa Mohd Azmi, 7, ditemui mati oleh ibu bapanya di dalam anak sungai berhampiran dusun durian di Kampung Pak Sik dekat Keruak di sini, kira-kira jam 11.30 pagi.

Bapa mangsa, Mohd Azmi Mohamad, 47, berkata, dia bersama isteri, Saliza Mustafa, 43, dan tiga anaknya berusia 5 hingga 13 tahun termasuk Anas tiba di kebun milik rakannya kira-kira jam 11 pagi.

Menurutnya, sebaik tiba di kebun itu, tiga anaknya pergi ke sebatang anak sungai yang terletak berhampiran kebun bersama seorang lagi anak rakannya berusia 9 tahun untuk mandi.

“Manakala saya bersama isteri dan rakan pergi mencari buah durian. Kami dikejutkan dengan kejadian itu apabila anak bongsu saya yang berusia 5 tahun datang memberitahu abangnya mati dalam sungai.

“Sebelum itu anak bongsu perempuan saya itu dah datang beritahu abangnya mandi lama, tidak timbul-timbul,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Besut, petang tadi.

Mohd Azmi berkata, sebaik dibawa ke darat, dia berusaha memberi pertolongan cemas kepada anaknya namun tiada sebarang tindak balas.

Katanya, anaknya kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pasir Akar namun disahkan telah meninggal dunia.

“Saya terkilan kerana dia tak sempat jamah durian yang dihajatinya sejak malam semalam.

“Dia amat gembira dan tak sabar apabila mengetahui mahu ke dusun durian milik kawan saya yang merupakan seorang ustaz, malah bangun pagi tadi pun dia bertanya lagi bila mahu pergi,” katanya.

Mohd Azmi berkata, jenazah anaknya dibawa pulang ke Sungai Tong, Setiu untuk dikebumikan di sana.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment