Johor tegur ahli majlis PBT
JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor menegur segelintir ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak memberi maklum balas kepada masyarakat apabila diajukan pertanyaan menerusi aplikasi media sosial atau panggilan telefon.
Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi, Tan Hong Pin berkata, sewajarnya perkara tersebut tidak harus berlaku dan boleh ditangani oleh semua ahli majlis.
Menurutnya, sebagai seorang ahli majlis PBT yang menjadi tumpuan awam, mereka seharusnya memberi maklum balas terhadap sebarang pertanyaan atau aduan masyarakat setempat dan bukannya berdiam diri.
"Saya ingin menasihatkan ahli PBT yang baharu dilantik ini agar mengambil ruang dan peluang sedikit untuk membalas setiap mesej terutama sekiranya berkaitan dengan aduan masyarakat.
"Saya percaya kebanyakkan ahli-ahli PBT yang dilantik masih baharu dan masih 'terkejut' dengan gaya hidup yang baru sebagai ahli majlis," katanya selepas majlis pelancaran Digital Valley di Plaza Pelangi, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Hong Pin berkata, jika aduan atau pertanyaan yang diajukan di luar bidang kuasa Ahli Majlis, mereka seharusnya menjawab dan memaklumkan saluran yang betul kepada pengadu bukan hanya berdiam diri.
"Ahli majlis sewajarnya memberikan maklum balas dengan segera apabila diajukan pertanyaan.
"Jangan terus diam, jika tidak boleh menjawab atau di luar bidang kuasa, salurkan atau beri talian yang sesuai untuk mereka hubungi," katanya.
Pada 16 Julai lalu, kerajaan Johor melantik 165 Ahli Majlis bagi 15 kawasan PBT di negeri itu berkuat kuasa pada 15 Julai lalu sehingga 31 Disember 2019.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment