Insentif hanya untuk nelayan yang layak

Saturday, July 28, 2018

Insentif hanya untuk nelayan yang layak

Insentif hanya untuk nelayan yang layak

ALOR SETAR - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan melaksanakan proses pemutihan bagi memastikan hanya nelayan layak menerima elaun sara hidup dan insentif daripada kerajaan.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, langkah itu untuk memastikan tiada mana-mana nelayan yang tidak turun ke laut terus mendapat manfaat daripada bantuan dan insentif.

"Kementerian akan membuat pemutihan dengan menggunakan mekanisme terbaik seperti wakil rakyat di kawasan Parlimen dan Dun, ketua kampung, tok penghulu serta persatuan-persatuan nelayan untuk membuat bancian bagi mengetahui jumlah sebenar nelayan seluruh negara.

"Langkah ini untuk memastikan tiada nelayan ditindas. Ini kerana terdapat mereka yang sebenarnya bukan nelayan turut mendapat bantuan daripada kerajaan," katanya selepas Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Nelayan Kuala Kedah di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Katanya, pihak kementerian mahu melakukan bancian untuk mengetahui jumlah sebenar nelayan supaya bantuan disalurkan dengan tepat.

"Dalam kerajaan baru ini, kita mengharapkan persatuan nelayan juga benar-benar membela dan memperjuangkan kebajikan nelayan. Di seluruh Malaysia, terdapat seramai 107,000 nelayan berdaftar perlu dibuat pemutihan,"katanya.

Dalam pada itu, Salahudin turut menggesa nelayan di negara ini supaya melakukan nilai tambah bagi meningkatkan pendapatan dengan membabitkan diri dalam pertanian.

"Di kementerian, kita ada banyak insentif pertanian misalnya untuk tanaman nanas yang mungkin boleh diusahakan kerana mudah ditanam dan mempunyai harga pasaran yang baik.

"Selain itu, ia tidak memerlukan kawasan yang luas dan mampu menjana keuntungan. Pertanian seperti ini boleh menjadi nilai tambah kepada nelayan untuk meningkatkan taraf hidup," katanya.

Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Nelayan Kuala Kedah di Pelabuhan LKIM di sini, dihadiri lebih 500 nelayan dari kawasan itu.

Perjumpaan ini juga buat pertama kali selepas Salahuddin dilantik Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, di bawah kepimpinan Kerajaan Pakatan Harapan yang terbentuk pada PRU14, lalu.

Selepas ucapan, beliau menyampaikan Bantuan Bencara Alam dan Kebajikan Nelayan dan Elaun Sara Hidup Nelayan kepada nelayan Kuala Kedah.

Selain itu, beliau turut menyampaikan cek replika Bantuan Touch Point untuk Peralatan Pemprosesan Industri Asas Tani serta Bantuan Touch Point Projek Akuakultur.

Terdahulu, beliau turut meninjau keadaan ke Pusat pembekuan ikan menggunakan teknologi Individual Quick Frozen (IQF).



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment