Komitmen kerajaan selesai isu NCR gembirakan penduduk

Thursday, April 5, 2018

Komitmen kerajaan selesai isu NCR gembirakan penduduk

Komitmen kerajaan selesai isu NCR gembirakan penduduk

TUARAN: Tiada yang lebih menggembirakan Bangai Andung, 73, dari Kampung Tiong Ratau, di sini, selain menerima geran selepas sekian lama menduduki dan mengusahakan tanah hak adat anak negeri (NCR) tanpa hak milik yang jelas.

Bagi Bangai, tanah NCR yang diusahakannya sejak awal pembukaan kampung itu hampir seabad lalu umpama nyawa kerana ia satu-satunya harta yang menyokong kehidupannya sekeluarga selama ini.

"Saya bersyukur kerana kerajaan mengambil usaha untuk menyelesaikan masalah pemilikan tanah yang selama ini menghantui kehidupan kami.

Sokong usaha kerajaan

"Bagi saya, apa yang dibuat kerajaan bagi membantu orang kampung seperti saya adalah sangat bagus," katanya.

Warga emas itu antara penduduk tanah NCR di daerah ini yang tersenarai mendapat geran tanah berstatus anak negeri (NT) selepas tanah diusahakannya disukat melalui Program Pengukuran Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS).

NCR adalah tanah yang diduduki dan diusahakan penduduk anak negeri Sabah sejak turun-temurun dari satu generasi ke generasi seterusnya.

PANTAS dilaksanakan kerajaan negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah sejak 2011 bertujuan mempercepatkan kelulusan permohonan tanah NCR yang sebelum ini berdepan kelewatan dengan ada antara permohonan dibuat lebih 30 tahun lalu.

Ketua Kampung Nulu, Samin Sikir, 65, berkata langkah kerajaan mewujudkan PANTAS sangat tepat dan dialu-alukan penduduk, khususnya mereka yang berdepan masalah permohonan tanah.

"Ramai generasi kami yang terdahulu sudah meninggal dunia tanpa sempat melihat tanah yang mereka usahakan diberikan geran. Baru sekarang kami sebagai pewaris mendapat geran yang ditunggu sejak sekian lama.

"Saya sangat gembira dan berterima kasih atas bantuan pemimpin kami di sini selain kerajaan negeri yang sangat mengambil berat rintihan kami berkaitan tanah adat ini," katanya.

Penduduk lega isu selesai

Bagi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lokos, Patrick Yanggau, 46, langkah kerajaan mewujudkan program PANTAS membolehkan penduduk menarik nafas lega selepas sekian lama dibelenggu isu tanah.

Katanya, menerusi program itu kekangan syarat permohonan tanah seperti larangan memohon geran bagi tanah bercerun dapat diatasi menerusi beberapa pendekatan strategik seperti pembentukan jawatankuasa guna tanah dan penjagaan hutan kampung.

"Ia sebagai bukti komitmen bahawa penduduk akan menjaga tanah mereka yang bercerun daripada ancaman tanah runtuh atau kemusnahan dan sebagai balasan kerajaan meluluskan permohonan tanah yang sudah tentu menggembirakan kami," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment