Satu rumah penuh beg tangan tiruan!

Wednesday, June 27, 2018

Satu rumah penuh beg tangan tiruan!

Satu rumah penuh beg tangan tiruan!

PERA I- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang merampas ribuan beg tangan berjenama terkenal tiruan dalam dua serbuan berasingan di kawasan Perai di sini pagi tadi.

Timbalan Ketua Penguatkuasa KPDNKK Pulau Pinang, Md Nasir Mohamad berkata, serbuan dibuat hasil risikan selama dua minggu terhadap aktiviti penjualan beg tangan palsu yang dilakukan oleh seorang wanita warganegara China.

Menurutnya, wanita berkenaan yang berkahwin dengan lelaki warga tempatan itu telah menjalankan perniagaan berkenaan sejak enam tahun lalu dan premis mereka pernah diserbu pada Disember tahun lalu.

“Dalam serbuan yang dilakukan kira-kira jam 11 pagi di sebuah rumah tiga tingkat di Taman Mega, di sini kita menemui ribuan beg tangan, beg pakaian dan barangan lain yang disimpan di rumah berkenaan.

“Dalam masa yang sama, sepasukan lagi pegawai dan anggota telah menyerbu sebuah premis di kawasan pusat perniagaan Perai yang dijadikan tempat jualan,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sini .

Md Nasir berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut menahan empat individu termasuk dua warganegara China, seorang Indonesia dan seorang warga tempatan.

Katanya, siasatan yang dilakukan mendapati, mereka mengimport masuk beg-beg berkenaan daripada China sebelum melekat label dan logo jenama terkenal setelah beg berkenaan sampai di sini.

“Setakat ini jumlah beg yang dirampas masih lagi dikira kerana terlalu banyak yang disimpan di rumah tiga tingkat ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment