Rafizi tarik semula rayuan isu Bafia

Thursday, June 28, 2018

Rafizi tarik semula rayuan isu Bafia

Rafizi tarik semula rayuan isu Bafia

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan rayuan Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli yang mencabar kesahan Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia).

Mohd Rafizi mencabar kesahan akta itu yang berdepan tuduhan mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

Panel tiga hakim mahkamah itu yang diketuai Datuk Ahmadi Asnawi membatalkan rayuan itu selepas Mohd Rafizi menarik balik rayuannya.

Turut bersidang Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Kamardin Hashim.

Sehubungan itu, rayuan Mohd Rafizi terhadap hukuman penjara 30 bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Februari lalu, akan diteruskan di Mahkamah Tinggi.

Pada prosiding itu Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar memberitahu mahkamah bahawa Mohd Rafizi tidak ada memfailkan notis untuk tidak meneruskan permohonan itu.

Bagaimanapun katanya, Mohd Rafizi ada memaklumkan bahawa pihaknya akan menarik balik rayuan itu ketika pengurusan kes pada 6 Jun lalu dan surat sudah dikeluarkan bagi meminta beliau atau peguamnya hadir hari ini.

Mohd Rafizi atau peguamnya, Razlan Hadri Zulkifli tidak hadir ketika prosiding hari ini.

Pada 16 Mei lalu, Mahkamah Rayuan  membatalkan rayuan bekas kerani bank, Johari Mohamad untuk mencabar kesahan Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) yang dipertuduhkan terhadapnya atas kesalahan bersubahat dengan Rafizi mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik NFC itu.

Pada 20 April 2015, Rafizi dan Johari memfailkan permohonan untuk mencabar akta itu dengan mengemukakan tiga isu antaranya sama ada pertuduhan terhadap mereka boleh diteruskan walaupun Bafia sudah dimansuhkan pada 2013 dan digantikan dengan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Johari juga meneruskan rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan kerana bersubahat dengan Rafizi.

Pada 7 Februari lalu, kedua-duanya didapati bersalah mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC), National Meat & Livestock Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd., enam tahun lalu.

Rafizi, 41, disabitkan mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik NFC, National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan akaun bank Mohamad Salleh kepada perunding media Yusof Abdul Alim dan pemberita The Star, Erle Martin Carvalho.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, Selangor pada 7 Mac 2012.

Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) Bafia yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment