Semak, imbang bidang kuasa menteri terhadap Islam

Friday, June 29, 2018

Semak, imbang bidang kuasa menteri terhadap Islam


Pensyarah Pengajian Islam di Pusat Pengajian Islam Oxford, Datuk Dr. Muhammad Afifi Al-Akiti berkata, hal itu penting bagi mengimbangi kuasa antara pentadbiran Pusat dan negeri dalam soal agama Islam, seterusnya memastikan Islam tidak dipolitikkan.

Malah katanya, perkara itu mungkin boleh diperhalusi oleh jawatankuasa khas yang mahu ditubuhkan kerajaan bertujuan, membincangkan kedudukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Tidak mahu ada menteri yang terlalu berkuasa, dikhuatiri boleh berlakunya salah guna kuasa.

“Ini kerana bidang kuasa agama itu menurut Perlembagaan Persekutuaan terletak di bawah bidang kuasa Sultan. Kita perlu ada semak dan imbang dalam hal ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan Kementerian Pertahanan untuk menarik balik penempatan tentera Malaysia di Arab Saudi, Muhammad Afifi berkata, perkara itu perlu dikaji secara terperinci.

Namun beliau berpendapat adalah lebih baik Malaysia tidak berpaksi kepada mana-mana pihak sehingga boleh menggugat hubungan negara ini dengan negara-negara Islam yang lain.-UTUSAN ONLINE



sumber: utusan

0 comments:

Post a Comment