Jangan ambil kesempatan

Wednesday, June 27, 2018

Jangan ambil kesempatan

Jangan ambil kesempatan

SEREMBAN - Pakatan Harapan negeri berharap individu yang ingin menyertai parti tersebut tidak mempunyai kepentingan peribadi mahupun agenda tersembunyi.

Pengerusinya, Aminuddin Harun berkata, pihaknya tidak menghalang individu yang berminat untuk menyertai Harapan, malah sentiasa mengamalkan prinsip ‘buka pintu’ kepada sesiapa sahaja.

Beliau berkata, pihaknya sedia memberi ruang kepada mereka yang ingin bersama Harapan dalam memperjuangkan rakyat serta melihat perubahan kerajaan yang lebih baik.

“Fenomena lompat parti dalam dunia politik ini adalah perkara biasa dan saya berharap kemasukan mereka nanti bukan disebabkan mempunyai kepentingan atau ada muslihat lain.

“Jika benar mahu menyertai Harapan, mereka haruslah menjiwai perjuangan dilaksanakan oleh kami yang sentiasa berkhidmat untuk rakyat, bukan masuk sebab mahu mengambil kesempatan,” katanya.

Menurutnya, Harapan mempunyai empat parti komponen dan mereka yang berminat boleh menyertainya salah satu daripadanya.

“Mereka boleh pilih mana-mana parti yang mereka suka dan jiwailah parti itu dengan sepenuh hati.  

“Jangan masuk disebabkan ada kepentingan dan mahu membawa agenda sendiri pula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan beberapa ahli Umno dan badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini yang mengambil keputusan keluar daripada Umno dan menyertai Harapan.

Aminuddin berkata, tindakan mereka itu adalah langkah terbaik dan dilihat mempunyai kesedaran untuk menyelamatkan serta memulihkan semula negara ke arah lebih cemerlang.

Terdahulu, kira-kira lapan ketua cawangan serta bekas ketua cawangan Umno Bahagian Rembau dan Rasah umum keluar parti, sekali gus menyatakan sokongan terhadap pimpinan kerajaan Harapan.

Turut mengumumkan keluar parti ialah enam pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) pro BN.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment