Lombong terbiar lubuk pemancing

Friday, June 29, 2018

Lombong terbiar lubuk pemancing

Lombong terbiar lubuk pemancing

MUAR - Dengan keriuhan daripada kicauan burung selain pemandangan yang indah berlatarbelakangkan bukit-bukau selain disajikan dengan kejernihan air pastinya membuatkan pengunjung berasa nyaman tatkala melangkah masuk ke kawasan lombong terbiar.

Terletak di hujung kampung Parit Muhammad di sini, lombong terbiar yang menjadi lubuk rezeki dalam kalangan kaki pemancing sering menerima kunjungan daripada golongan itu apabila ramai yang datang dari pelbagai daerah.

Bagaimanapun, ekoran kedudukannya di pedalaman, kewujudan lombong seluas hampir 10 kilometer persegi yang tidak dijaga ini masih kurang disedari oleh ramai pihak termasuk sebahagian penduduk Bakri khususnya.

Bagi Hamdani Tumir, 49, yang merupakan anak jati di kampung tersebut sememangnya telah mengetahui kewujudan lombong berkenaan sejak kecil.

“Macam saya memang dah tahu tempat ini sejak zaman kanan-kanak lagi. Biasalah budak kampung memang suka memancing tangkap ikan sendiri. Jadi lombong ini suatu masa dulu ada kalanya menjadi mata pencarian rezeki kami termasuk penduduk di sini.

“Jenis ikan pula memang banyak dan saiznya besar seperti ikan toman, rohu, liku, lampam dan banyak lagi. Pemancing dulu anggap tempat ini adalah sebahagian mata pencarian mereka kerana jumlah ikan yang dibawa balik pasti begitu banyak,” katanya kepada Sinar Harian.

Hamdani berkata, mengikut sejarah, kewujudan lombong berkenaan didakwa telah muncul sejak zaman perang Jepun lagi.

“Mengikut cerita orang lama, lombong ini telah wujud sejak dulu lagi iaitu ketika zaman Jepun. Dikatakan kawasan ini adalah merupakan tempat lombong bijih timah.

“Bagaimanapun kini sumber asli itu dah tiada, namun lombong ini terus wujud dipenuhi ikan air tawar sekali gus menjadi kawasan riadah kaki pancing,” katanya.

Buang racun dalam lombong

Bagaimanapun menurut Hamdani, kawasan tumpuan berkenaan kini semakin kekurangan ikan lantaran kecuaian manusia.

“Suatu ketika dulu, pernah ada individu yang tidak bertanggungjawab membuang racun ke dalam lombong ini sehingga menyebabkan banyak ikan mati. Malah kawasan yang dipenuhi bunga teratai ini dulu turut pupus menyebabkan keindahan lombong ini semakin hilang.

“Bermula daripada situ, ikan mulai kurang sehingga yang masih kekal pada hari ini cuma tilapia, jelawat dan patin. Itu pun bergantung kepada nasib ada kalanya besar, kadang kala kecil sahaja,” katanya.

Hamdani berkata, bagaimanapun keadaan itu tidak mengubah persepsi golongan pemancing di luar sana yang tetap gemar ke situ untuk melakukan aktiviti mereka.

“Kebanyakan kaki pancing yang datang ke sini adalah dari Melaka, Batu Pahat dan Johor Bahru. Kumpulan ini biasanya boleh hidu mana tempat menarik untuk memancing.

“Dan pada mereka, tempat ini masih lagi menjadi kegemaran dan kalau pada hujung minggu atau cuti umum, pasti lebih ramai yang memenuhi kawasan ini waktu petang,” katanya.

Bagi Muhammad Daniel Asyraf Mazlan, 14, dia mengetahui kewujudan lombong tersebut daripada rakan-rakannya.

“Pada asalnya saya ikut kawan sebab mereka kata ada tempat menarik untuk memancing. Dan bermula daripada situ saya mengetahui kewujudan tempat memancing ini.

“Memang terkejut kerana perjalanan yang agak berliku dan memakan masa rupanya membawa kepada lombong yang cukup indah dan cantik,” katanya.

Muhammad Daniel bagaimanapun mengakui, kini jumlah ikan di lombong berkenaan semakin berkurangan.

“Kalau dulu setiap kali memancing memang banyak hasil dapat ditangkap, tapi kini dah kurang. Kalau nasib tak begitu baik, dapat seekor sahaja, kalau rezeki lebih dapatlah banyak sikit ikan,” katanya.

Muhammad Daniel (kanan) bersama rakannya menunjukkan hasil tangkapan yang diperoleh mereka.

Bimbang lombong tenggelam

Hamdani dalam pada itu berharap agar lombong yang menjadi lubuk pemancing itu mampu diindahkan dan dikomersialkan kepada orang luar suatu hari nanti.

“Namun keadaan itu agak sukar dilaksanakan kerana tanah di sekeliling lombong ini mempunyai tuan. Bagaimanapun sekiranya tidak dijaga, maka sebahagian individu tidak akan ada kesedaran dan terus membuang sampah termasuk racun sekalipun.

“Agak rugi jika ia tidak dibela kerana sebagai pemancing, kami bimbang kalau suatu hari nanti kawasan menarik ini akan hilang dan terus pupus,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment