Saya tak sama macam Zahid: Muhyiddin

Thursday, June 28, 2018

Saya tak sama macam Zahid: Muhyiddin

Saya tak sama macam Zahid: Muhyiddin

JOHOR BAHRU - Segala tindakan dan keputusan yang dibuat oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) adalah secara profesional serta berlandas undang-undang dan bukannya atas motif politik.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekiranya mana-mana pertubuhan yang melanggar peraturan serta perlembagaan akan diambil tindakan oleh ROS.

Menurutnya, beliau menyerahkan tugas berkenaan kepada Pengarah ROS untuk mengambil sebarang tindakan kepada mana-mana pertubuhan yang kalau dilihat melakukan kesalahan, tidak mematuhi perlembagaan parti atau tidak mengikut pertubuhan.

“Jadi, tidak eloklah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang pernah berada di situ bersangka buruk kerana mungkinkah sewaktu beliau berada di sana beliau buat begitu. Mungkin beliau berfikir saya sama seperti beliau.

“Saya tidak sama macam beliau (Ahmad Zahid). Saya yakin dan percaya kita mesti bersikap profesional dalam membuat apa-apa siasatan dan jangan mudah menuduh. Kalau Umno telah melakukan kesalahan, Umno kena tahu perlembagaannya dan undang-undang serta apa yang perlu dibuat.

"Saya tidak tahu kedudukan sebenarnya dan saya serahkan kepada ROS. Sebelum ini, banyak pihak telah minta dan ada kesnya yang telah berjalan di mahkamah dan belum diputuskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pemangku tugas Presiden Umno itu yang mendakwa tidak mustahil Muhyiddin akan mengarahkan ROS membatalkan pendaftaran Umno.

Terdahulu, beliau membuat lawatan kerja di Kompleks Kuarantin, Imigresen dan Kastam (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Ahmad Zahid yang mana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan akaun bank ibu pejabat Umno dan Umno Selangor, Muhyiddin menjawab beliau belum menerima laporan tentang perkara itu.

“Saya tidak pasti (belum menerima laporan) tentang perkara yang disebutkan itu. Tetapi kalau ia di bawah SPRM, sudah tentu ada asas yang mungkin telah ditemui oleh pihak SPRM. Maka tindakan telah diambil di bawah bidang kuasa mereka,” katanya.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment