Bahasa kebangsaan dinyahkan?

Thursday, June 28, 2018

Bahasa kebangsaan dinyahkan?

Bahasa kebangsaan dinyahkan?

SEJAK penubuhan kerajaan baharu Malaysia selepas PRU baru-baru ini, saya perhatikan terdapat beberapa perkembangan yang menggusarkan berkaitan dengan penggunaan bahasa kebangsaan oleh pimpinan tertinggi negara.

Bermula dengan pelbagai sidang media yang dilakukan oleh Perdana Menteri sebaik sejurus pengumuman kemenangan Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan sehinggalah pada hari ini. Namun saya memahami kenapa Perdana Menteri membuat pelbagai kenyataan dalam bahasa Inggeris.

Hal yang demikian disebabkan keberadaan ramai wartawan asing yang tidak memahami bahasa kebangsaan. Mungkin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad khuatir sekiranya kenyataan dibuat dalam bahasa Melayu terjemahan mungkin tersasar dari apa yang dimaksudkan sebenarnya.

Tujuan kenyataan yang dibuat untuk siaran kepada wartawan asing ini boleh diterima kerana mereka mungkin tidak memahami bahasa kebangsaan walaupun ada pemimpin asing mengambil sikap yang lebih keras bercakap di dalam bahasa kebangsaan sendiri walaupun dalam kehadiran pelbagai warganegara asing.

Melalui pemerhatian saya ketika di luar negara ada beberapa negara yang tidak menyiarkan suara pemimpin tempatan atau asing di dalam siaran televisyen mereka.

Gambar pembicara disiarkan tetapi apa yang diperkatakan diterjemahkan ke bahasa kebangsaan mereka oleh penterjemah. Begitulah mereka meletakkan ketinggian bahasa kebangsaan mereka. Hal yang sama tidak berlaku di Malaysia kerana rata-ratanya pemimpin negara lebih lunak berbahasa asing berbanding bahasa kebangsaan.

Saya juga mengalu-alukan kenyataan Peguam Negara, Tommy Thomas yang berjanji akan memperbaiki pemahaman bahasa kebangsaan beliau kerana beliau tidak fasih berbahasa kebangsaan.

Namun persoalan yang bermain di minda saya ialah bagaimana setelah lebih 60 tahun merdeka masih ada rakyat Malaysia yang tidak menguasai bahasa kebangsaan? Hal ini sangatlah menggusarkan kerana jati diri negara langsung tidak diendahkan.

Dalam bidang kepeguaman dan kehakiman sivil negara bahasa kebangsaan sudah diketahui dipinggirkan khususnya di mahkamah-mahkamah atasan.

Walaupun Akta Bahasa Kebangsaan 1963 telah lama digubal di bawah payung Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah lama dilaksanakan kewujudan akta ini masih tidak diberi efek perundangan sepenuhnya malah dilihat sebelah mata sahaja oleh mahkamah atasan dan sebahagian peguam yang beramal di mahkamah-mahkamah atasan.

Seksyen 2 Akta Bahasa Kebang-saan 1963 menyatakan dengan jelas bagi tujuan rasmi kerajaan hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan dalam semua urusan rasmi manakala seksyen 8 akta yang sama menyatakan segala prosiding melainkan keterangan yang diberi oleh seorang saksi) di mahkamah-mahkamah di Malaysia hendaklah dalam bahasa kebangsaan  atau dalam bahasa Inggeris atau sebahagiannya dalam bahasa kebangsaan dan sebahagiannya dalam bahasa Inggeris.

Walaupun mahkamah boleh membenarkan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya namun begitu ia tidak menepati semangat Akta Bahasa Kebangsaan tersebut.

Saya lebih terkejut apabila ditularkan kenyataan akhbar Menteri Kewangan Lim Guan Eng disiarkan terjemahannya dalam bahasa Mandarin.

Sekiranya benar kenyataan dalam bahasa Mandarin tersebut dibuat oleh Menteri Kewangan ia sangatlah mendukacitakan dan melanggar peruntukan seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963 walaupun ia sekadar terjemahan.

Adalah amat tidak munasabah saya sebagai seorang warganegara Malaysia tidak dapat memahami kenyataan akhbar yang dibuat Menteri Kewangan kerana ia tidak dibuat di dalam bahasa kebangsaan kerana kadang-kadang terjemahan tersebut dileraikan dari teks asal.

Malah saya perlu mencari bantuan teknologi bagi mengetahui apa yang hendak disampaikan Menteri Kewangan.

Adakah Menteri Kewangan mengakui ramai orang Cina yang masih tidak fasih berbahasa kebangsaan. Bagaimana pula orang India, Iban, Kadazan, Punjabi dan lain lain lagi kenapa tidak pula teks bahasa ibunda mereka juga disediakan?

Sudah lama bahasa kebangsaan dipinggirkan. Kini ia mahu dinyahkan pula? Walaupun kerajaan terdahulu mungkin mengabaikan pemerkasaan bahasa kebangsaan ini diharapkan kerajaan baru ini tidak mengambil jalan yang lebih terkebelakang berkaitan bahasa kebangsaan.

Seharusnya segala langkah perlu diambil bagi memartabatkan Bahasa Kebangsaan. Bukan sahaja bahasa kebangsaan perlu dimartabatkan malah juga tulisan jawi yang semakin hari semakin jauh dari hati umat Melayu juga perlu diperkenalkan semula.

Bahasa kebangsaan adalah jati diri negara. Bahasa kebangsaan adalah bahasa perpaduan rakyat Malaysia. Meminggirkan bahasa kebangsaan memberi pelbagai implikasi perundangan, sosial dan boleh mendatangkan syak wasangka di kalangan rakyat.

Peri pentingnya bahasa kebangsaan di Malaysia sudah tidak boleh dinafikan lagi. Ia menjadi alat untuk kemajuan negara dan menjamin persefahaman antara rakyat.

Saya menyeru pihak kerajaan agar mengambil segala langkah perlu bagi memartabatkan bahasa kebangsaan dan memberi efek sebenar Akta Bahasa Kebangsaan 1963.

Akta Bahasa Kebangsaan 1963 seperti mana undang-undang yang lain bukanlah merupakan dekorasi sahaja. Ia adalah undang-undang yang berkuat kuasa dan perlu dipatuhi.

Malah Dewan Bahasa dan Pustaka yang menjadi Ć¢€˜penjagaĆ¢€™ kepada kelestarian bahasa kebangsaan ini perlu diberikan nafas baru dan autoriti yang lebih besar di dalam usaha untuk mengembalikan bahasa Melayu sebagai lingua franca di Asia Tenggara.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment