Main mercun tanpa lesen: Penyelia ladang didenda RM100

Wednesday, June 27, 2018

Main mercun tanpa lesen: Penyelia ladang didenda RM100

Main mercun tanpa lesen: Penyelia ladang didenda RM100

KOTA TINGGI - Selain didenda RM100, seorang penyelia ladang turut diberikan amaran keras oleh mahkamah agar tidak mengulangi perbuatan bermain mercun jika tidak mahu berdepan hukuman penjara.

Majistret Mazana Sinin memberi amaran itu kepada Nor Isham Tukiman, 35, ketika dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan memasang bunga api tanpa lesen pada 14 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan, pada jam 10 malam di hadapan rumah di Felda Papan Timur, Nor Isham didapati memasang bunga api tanpa lesen yang diberikan dibawah Seksyen 3(1) Akta Kesalahan-Kesalahan  Kecil 1955.

Berikutan itu, tertuduh didakwa dibawah Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan boleh dihukum dibawah akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM100 atau penjara tidak lebih dari sebulan atau ke dua-duanya.

Mazana kemudian menjatuhkan hukuman denda RM100 kepada Nor Isham selepas tertuduh mengaku bersalah, jika gagal bayar boleh dikenakan satu bulan penjara.

Menurut Mazana, ada tujuannya apabila kerajaan mengharamkan mercun dan disarankan agar mendapatkan lesen jika mahu memiliki mercun.

"Walaupun tidak ada niat, perkara ini kalau ikut logik akal pun memang bahaya. Kalau libatkan diri sendiri sahaja tak apa tapi melibatkan kanak-kanak.

"Ini amaran terakhir kepada kamu, sekiranya kamu dituduh lagi saya akan penjarakan kamu mengikut peruntukan undang-undang," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya dikendalikan Azlin Zeti Zainal Abidin sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nor Isham direman selama tujuh hari selepas ditahan di Felda Papan Timur bagi membantu siasatan berhubung kematian kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun akibat terkena serpihan mercun di Felda Papan Timur pada malam Hari Raya Aidilfitri.

Mengikut fakta kes, saksi mendapati Nor Isham telah menyalakan mercun kelapa yang diletakkan di dalam paip PVC warna biru agar ditembak ke arah langit, namun telah meletup di atas tanah di hadapan rumahnya.

Kanak-kanak terbabit, Nuraqira Khaeefa Mohd Saad disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA) selepas empat hari koma apabila kepalanya terkena serpihan bekas mercun yang meletup, terpelanting dan terlekat di kepalanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment