SPRM beku 900 akaun bank ada kaitan 1MDB

Thursday, June 28, 2018

SPRM beku 900 akaun bank ada kaitan 1MDB

SPRM beku 900 akaun bank ada kaitan 1MDB

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 900 akaun bank yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Berdasarkan laporan eksklusif New Straits Times yang memetik sumber tertinggi agensi itu, akaun Umno adalah salah satu yang dibekukan.

“Mereka yang tidak lagi mempunyai akses kepada akaun mereka itu terdiri daripada beberapa individu yang dipercayai mendapat manfaat daripada 1MDB,” katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: SPRM beku akaun Umno? ]

Semalam, Calon Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa SPRM telah membekukan akaun Umno Pusat dan Umno Selangor.

Ahmad Zahid yang menjalankan tugas-tugas presiden menjelaskan beliau berkeyakinan hampir pasti akaun Umno Johor turut dibekukan SPRM.

Beliau mendakwa Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meminta Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk membatalkan pertubuhan parti itu.

Katanya, tidak ada jaminan sesiapa yang menang jawatan Presiden Umno, anggota-anggota Majlis Tertinggi, Naib Presiden dan Timbalan Presiden yang menang tidak akan disiasat SPRM.

Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun bank Umno Pusat dan beberapa negeri lain hari ini merupakan petanda jelas Umno ‘diserang’ pihak lawan yang cuba hendak mengharamkan penubuhannya.

Seorang lagi Calon Presiden Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beberapa akaun Umno negeri lain seperti Pulau Pinang dan Johor difahamkan turut dibekukan pihak berkuasa terbabit

Katanya, pihaknya percaya tindakan itu dibuat atas alasan Umno terbabit dikaitkan dengan kes tumpuan utama siasatan SPRM ketika ini, dipercayai 1MDB.

Menurutnya, senario itu membuktikan Umno kini sedang diserang di mana langkah membekukan akaun bank Umno adalah permulaan kepada usaha mengharamkan parti itu pada masa hadapan.

Khairy juga berharap tindakan SPRM itu hanya untuk siasatan dan bukan usaha untuk mengharamkan parti itu.

Khairy berkata, sekiranya dipilih sebagai presiden Umno beliau akan bertindak segera dan berusaha untuk memastikan akaun dan harta sah milik Umno tidak dirampas.

Sementara itu, Pemuda Umno menyifatkan pembekuan akaun Umno sebagai tindakan melampau yang langsung tidak mencerminkan Kerajaan Pakatan Harapan kononnya berpaksikan keadilan dan kebebasan.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, SPRM seharusnya dapat memberikan justifikasi yang jelas, telus dan terbuka berhubung punca sebenar akaun Umno dibekukan.

Beliau yang membantah tindakan itu berkata, lazimnya dalam operasi-operasi sebelum ini, SPRM menjelaskan bahawa risikan dan intipan berbulan-bulan telah dilakukan sebelum sesuatu langkah pembekuan dibuat.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment