Kerajaan diminta perkasa peranan Angkasa

Thursday, June 28, 2018

Kerajaan diminta perkasa peranan Angkasa

Kerajaan diminta perkasa peranan Angkasa

BAGAN SERAI - Fungsi dan peranan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) perlu diperkasakan bagi memastikan perjalanan setiap entiti koperasi tidak terkekang dengan pelbagai akta dan undang-undang sedia ada.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, inisiatif memperkasakan Angkasa adalah dengan meminda beberapa akta, undang-undang dan enakman yang menjadi halangan kepada gerakan koperasi.

"Saya meminta kerajaan Harapan dapat memberi kerjasama melonggarkan pelbagai kekangan dan sekatan dihadapi gerakan koperasi bagi meningkatkan usaha rangsangan pembangunan kami pada masa hadapan.

"Sebagai contoh, apabila sesebuah koperasi megusahakan perniagaan dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), ada kekangan akta atau undang-undang yang menghalang kami daripada memohon peruntukan besar daripada kementerian berkaitan.

"Jadi, kekangan ini satu kerugian kepada mana-mana koperasi untuk mengembangkan sayap perniagaannya dan kita harap perkara ini diteliti segera," katanya dalam sidang media  di sini, semalam.

Abdul Fattah berkata, Angkasa turut bercadang untuk bertemu dengan menteri yang menerajui portfolio berkaitan koperasi bagi membincangkan kekangan dihadapi gerakan koperasi.

"Kami sudah menulis surat untuk berjumpa dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi belum mendapat jawapan.

"Kita juga masih menunggu siapa menteri yang akan menerajui koperasi," katanya.

Abdul Fattah berkata, Angkasa mempunyai 7 juta ahli dengan 14,000 buah koperasi di bawahnya dan koperasi telah menyumbang kapada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hampir 41 bilion.

Dalam perkembangan lain, Abdul Fattah menegaskan pihaknya akan terus memperkukuhkan gerakan koperasi dengan jalinan membabitkan koperasi di peringkat antarabangsa.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment