Henti bazar Jalan TAR, Masjid India muktamad

Wednesday, June 27, 2018

Henti bazar Jalan TAR, Masjid India muktamad

Henti bazar Jalan TAR, Masjid India muktamad

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kekal dengan keputusan menghentikan penganjuran bazar Ramadan dan Deepavali di kawasan Masjid India dan Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) mulai tahun depan meskipun menerima bantahan ramai.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata, penganjuran bazar berkenaan di lokasi tersebut selama ini bukannya bersifat tetap dan pihaknya menerima sokongan daripada pemilik-pemilik premis di situ.

Menurutnya, langkah itu juga terpaksa diambil berikutan terlalu banyak aduan yang timbul di kawasan berkenaan termasuklah isu sampah-sarap dan halangan-halangan sehingga mengakibatkan kesesakan trafik.

“Sebelum ini, bazar ini diuruskan oleh persatuan-persatuan dan ia jadi tidak teratur. Sama juga bila kita (DBKL) cabut undi bersama peniaga dengan penyelarasan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia pun masih wujud masalah kebersihan dan halangan-halangan serta bantahan daripada pemilik kedai di jalan itu.

“Bila 10 Ramadan terakhir pula, semua penjaja haram telah kuasai kawasan tu hingga berlaku pergaduhan antara penguatkuasa DBKL dan orang ramai. Ini menyusahkan semua pihak,“ katanya ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri DBKL di sini hari ini.

Beliau berkata, penjaja boleh mencari lokasi ganti di tapak bazar lain sekitar ibu negara untuk terus beroperasi sempena Ramadan akan datang.

"Setiap parlimen sekurang-kurangnya ada dua tapak bazar. Sudah ramai penganjur sekitar Kuala Lumpur, sekurang-kurangnya dua bazar di setiap parlimen

"Jadi penjaja-penjaja ini perlu mencari lokasi sesuai dan berbincang dengan penganjur atau dengan ahli parlimen sama ada dibenarkan atau tidak. Sekarang kita dengar suara rakyat dan ahli parlimen," katanya.

Bazar yang juga dikenali sebagai bazar Masjid India itu mula dibuka sekitar tahun 2003 bermula dengan 100 lot tapak dan kini mempunyai sehingga 300 lot tapak.

Terdahulu, Ketua kawasan cawangan Masjid India Persatuan peniaga dan penjaja bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPPBWPKL), Mek Zainab Man, mengadakan sidang media memohon ruang perbincangan bersama DBKL berhubung perkara tersebut.

"Saya sangat terkilan apabila setiap kali ingin menemui Datuk Bandar, pelbagai alasan diberi.

"DBKL sepatutnya dengar rintihan dan keluhan penjaja. Adakah mereka tahu penutupan bazar itu memberi kesan yang sangat besar pada ekonomi kami," katanya.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment