Umno Kemaman buat penambahbaikan, elak masalah berulang
KEMAMAN - Umno Bahagian Kemaman melakukan beberapa penambahbaikan bagi memastikan proses pengundian pada pemilihan peringkat bahagian esok berjalan lancar dan kekalutan yang berlaku pada pengundian tiga sayapnya pada minggu lepas tidak berulang.
Setiausahanya, Rosli Ahmad berkata, penambahbaikan yang dilakukan termasuk memberi taklimat kepada wakil calon tentang proses pengundian dari awal hingga akhir demi memastikan semua calon berpuas hati.
"Wakil calon juga akan duduk setempat dan mereka boleh melihat suasana pengundian selain kita juga sediakan kotak di ruangan pengundian meja untuk perwakilan menanda kertas undi.
"Kita juga akan melakukan pengiraan undi serentak untuk jawatan ketua bahagian dan timbalan ketua bahagian, wakil yang berpuas hati dengan proses itu kemudian perlu menandatangani keputusan berkenaan," katanya selepas mengadakan taklimat kepada wakil calon pemilihan peringkat bahagian, petang kelmarin.
Pada proses pengundian peringkat sayap pemuda, wanita dan puteri pada Sabtu lalu, beberapa calon mendakwa proses pemilihan yang berlangsung di Pejabat Umno Bahagian Kemaman itu terpalit dengan ketidaktelusan dan penipuan.
Rosli berkata, beliau terkilan dengan dakwaan dilemparkan namun menganggap ia sebagai sebahagian asam garam politik.
"Namun begitu saya melihat wakil-wakil perhubungan berpuas hati dengan cara kita mengendalikan proses pengundian walaupun pemilihan wanita ada sedikit kekalutan kerana pada waktu itu hujan, terpaksa meja undi dialihkan," katanya.
Proses pemilihan wanita waktu itu dilakukan di bawah kanopi di luar bangunan Pejabat Umno Bahagian Kemaman disebabkan dewan bangunan itu yang berkapasiti 1,000 orang hanya mampu memuatkan perwakilan pemuda dan puteri sahaja.
Bagaimanapun, Rosli berkata, setiap calon yang bertanding mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan dan dakwaan yang dilontarkan itu dilihat dari sudut positif, iaitu untuk melihat pihaknya mengendalikan proses pengundian peringkat bahagian dengan lebih baik.
Katanya, bagi memberi kepuasan kepada calon, sejak pemilihan peringkat pemuda, wanita dan puteri lagi, pihaknya membenarkan calon menghantar dua orang wakil untuk memantau proses pengundian, walaupun di peringkat pusat hanya menetapkan calon menghantar seorang sahaja.
Pemilihan peringkat bahagian akan menyaksikan kira-kira 880 perwakilan akan membuang undi dan lebih 39 calon bertanding.
Paling mencuri tumpuan adalah bagi jawatan ketua bahagian apabila penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Said akan ditentang bekas penghulu, Mat Dalam Awang.
Bagi jawatan timbalan ketua bahagian pula, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid menarik diri daripada bertanding bagi memberi laluan pertandingan dua penjuru antara bekas Adun Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dan bekas ketua pemuda bahagian, Mohd Hisham Zubir.
Naib ketua bahagian pula melibatkan saingan tiga penjuru antara bekas ketua pemuda bahagian penggal lalu, Ahmad Fikry Ibrahim, Ahmad Mizani Mohd dan Ir Rosli Othman yang juga bekas Adun Kemasik.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment