'Jual diri' untuk hidup mewah

Saturday, June 30, 2018

'Jual diri' untuk hidup mewah

'Jual diri' untuk hidup mewah

DILAHIRKAN dalam keluarga yang berpecah-belah menjadi punca, Wani (bukan nama sebenar) terjerumus ke kancah 'menjual diri' kerana desakan mencari kemewahan dan keseronokan.

Kisah ini diceritakan oleh empunya diri yang kisahnya diemelkan kepada penulis untuk tatapan pembaca agar dijadikan pengajaran.

Membahasakan diri sebagai Wani, dia memulakan cerita dengan kehidupannya ketika remaja dengan langkah yang salah.

Desakan hidup keluarga yang susah, tinggal di rumah flat, porak-peranda ketika hidup di tengah kota, pergaulan bebas dengan rakan, menjadi titik permulaan Wani mula mencari keseronokan dan duit sendiri untuk kelangsungan hidup.

"Wani anak pertama daripada empat adik-beradik. Emak dan ayah sudah bercerai ketika umur Wani 15 tahun.

"Sejak itu, hidup kami sekeluarga susah sebab ayah langsung tidak bagi duit pada ibu. Ibu pula terpaksa menampung segala perbelanjaan kami termasuk persekolahan.

"Saya pada awalnya kasihan dengan pengorbanan ibu, tetapi lama kelamaan, kesibukan ibu dan sikap mudah marah ibu yang tidak lagi rapat dengan anak-anak menjadikan saya berani untuk mencari keseronokan di luar dengan rakan-rakan," ceritanya.

Tambahnya lagi, disebabkan dia seorang anak yang pandai dan berpeluang melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi di ibu kota, menyebabkan dia mula tinggal berasingan dengan keluarganya.

"Sejak tinggal di rumah sewa bersama kawan-kawan. aktiviti saya buat lagi bebas dan lebih berani mengikut jejak rakan-rakan yang melakukan kerja mudah dengan ganjaran duit yang lumayan.

"Ya, saya dan kawan, terjerumus untuk jual diri, demi mencari kemewahan dan keseronokan. Apa saja dingini dengan mudah dapat dibeli. Siapa yang tidak mahukan hidup begini. Dosa pahala ketika itu memang sudah tidak penting bagi saya.

"Tidak kira, menjadi perempuan simpanan kepada lelaki tua kerepot atau lelaki warga asing, semuanya saya sapu asal poket mereka tebal boleh berikan apa sahaja yang saya mahukan dan kirimkan duit itu kepada ibu, dengan alasan duit gaji bekerja di restoran makanan segera," katanya.

Tamparan hebat bila ibu meninggal

Namun sejak beberapa tahun hanyut dengan kemewahan penuh dosa itu, Wani mendapat berita, ibunya yang sudah lama tidak diambil tahu meninggal dunia akibat kemalangan.

"Ketika itu, hidup saya terus berasa kosong. Terus teringat mungkin ini balasan dosa yang saya lakukan. Dalam otak fikirkan adik-adik yang masih sekolah. Siapa lagi nak jaga mereka, kalau bukan saya sebagai kakak sulung.

"Memang niat saya asalnya mahu meneruskan aktiviti yang saya lakukan ketika itu dengan menjual diri kerana, duit yang diperoleh boleh bantu tampung adik-adik.

"Tapi, hati saya seperti rasa serba salah dan serba tidak keruan. Pengajian saya pula masa itu, sudah habis.

"Dipendekkan cerita, saya cuba tinggalkan dunia hitam saya, kembali tinggal dengan adik-adik dan cari kerja yang halal," tulisnya lagi.

Memang susah tulisnya, ketika awal perubahan itu, untuk dia tinggalkan segala kemewahan sebelum ini, tetapi dia benar-benar tekad untuk berubah demi adik-adiknya.

รข€œAlhamdulillah saya akhirnya mendapat kerja di sebuah syarikat yang besar di ibu kota dan dengan gaji yang saya terima biarpun tidak selumayan kerja saya dulu, tetapi hati saya lebih rasa bahagia di samping boleh tampung persekolahan adik-adik.

"Saya rasa bahagia bila lihat adik-adik berjaya dan tidak ikut perangai saya dahulu. Kini saya sedar dan selalu memohon pada ALLAH agar perubahan saya ini, akan terus kekal.

Jadi, saya tulis ini bukanlah mahu mendabik dada kerana telah berubah, tetapi lebih kepada menyesal kerana tidak pandai menjaga diri sehingga hanyut dalam dosa hitam.

Saya mahu, adik-adik di luar sana atau sesiapa sahaja, jangan sesekali ambil jalan mudah untuk hidup mewah sehingga menggadai maruah.

Kerana semua itu hanya sementara dan rasa bahagia sebenarnya bukanlah dengan menjual diri dan dapat bayaran lumayan, kerana semakin lama, tubuh yang cantik gebu akan berubah. Akhirnya diri wanita tiada nilai pada pandangan sesiapa.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment