TM mampu tanggung kesan penurunan harga jalur lebar
KUALA LUMPUR รข" Telekom Malaysia Bhd (TM) mampu menanggung impak kredit yang bakal timbul selepas harga jalur lebar dikurangkan, kata RAM Ratings.
Agensi penarafan itu berkata penilaian awalnya menjangkakan pengurangan tersebut akan berlaku secara beransur-ansur pada 25 peratus dalam kadar langganan jalur lebar bagi tempoh dua tahun akan datang, dengan mengambil kira pertumbuhan pelanggan yang tidak berubah dan hutang yang susut, untuk perbelanjaan modal dan dividen.
"Tahap penggearan TM dijangka memuncak 1.5 kali manakala dana dari operasi penyelesaian hutang mungkin berkurangan kepada purata 0.31 kali dalam tempoh tiga tahun akan datang.
"Memandangkan metrik kredit TM dijangka akan berada dalam ambang penarafan yang diberi, kami tidak menjangkakan sebarang kesan serta-merta kepada penarafan AAA/stabil/P1 yang diberikan kepada program sukuk kumpulan itu.
"Penilaian kami juga mengambil kira peranan strategik dan hubungan kukuh TM dengan pihak kerajaan, yang pada pandangan kami, memberi kelebihan kepada kumpulan tersebut khususnya dalam menerima sokongan luar biasa daripada kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Minggu lepas, kerajaan mengumumkan bahawa kadar langganan jalur lebar akan dikurangkan sebanyak 25 peratus menjelang hujung tahun ini berikutan pelaksanaan standard mandatori harga capaian (MSAP) mulai 8 Jun lepas.
Pelaksanaan itu juga akan menurunkan harga borong bagi akses jalur lebar berkelajuan tinggi di kalangan syarikat-syarikat telekomunikasi lain yang akan membolehkan mereka memberi diskaun harga bagi pakej-pakej jalur lebar sedia ada. -Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment