Sekat pelabur abai alam sekitar

Friday, June 29, 2018

Sekat pelabur abai alam sekitar

Sekat pelabur abai alam sekitar

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor tidak teragak-agak menyekat pelabur yang gagal mengutamakan aspek alam sekitar daripada melaksanakan pembangunan di negeri ini.

Exco Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, Johor memang mengalu-alukan kedatangan pelabur asing, dalam masa sama mereka juga menolak pelaburan yang boleh memberikan kesan negatif terhadap alam sekitar.

“Kalau mereka sah buat pelaburan ada teknologi hijau, Kerajaan Johor boleh pertimbangkan.

“Tapi kalau untuk tempat pembuangan sampah tidak perlu mencari kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu China yang menyerahkan kepada dunia untuk selesaikan masalah sejumlah 111 tan metrik sampah yang dijangka dijanakan di negara itu menjelang 2030 nanti.

Justeru itu, katanya, kerajaan negeri akan berbincang dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya tindakan penguatkuasaan diperketat lagi.

“Jadi kita akan buat siasatan dan semakan. Mana-mana syarikat yang langgar syarat yang dahulunya bagitau mereka buat teknologi hijau tetapi sebaliknya, kita akan ambil tindakan,” katanya.

Dalam pada itu, Jimmy berkata, terdapat tiga pelabur dari China yang mempunyai rakan kongsi di negara ini menyatakan minat untuk menjalinkan kerjasama pelaburan dalam bidang kitar semula sampah.

Jelasnya, walaupun proses janaan sampah mereka dilakukan pada 2030 nanti, namun negara tersebut sudah mengorak langkah lebih awal ke arah tersebut.

“Ada dalam kalangan tiga pelabur itu beritahu mahu buat kitar semula bateri.  

“Kalau perkara itu tidak dikawal, ia boleh dedahkan sumber air kita pada pencemaran toksid,” katanya.

Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama anak-anak yatim sekitar Johor Bahru anjuran Hotel Grand Paragon, di sini, hari ini.

Seramai 150 kanak-kanak berumur enam hingga 17 tahun diraikan dari Persatuan Kebajikan Darul Hanan, Rumah Barkat Anak-anak Yatim Johor dan Rumah Anak Yatim dan Kebajikan Ar Rayyan.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment