Perompak kejut mangsa tidur

Wednesday, June 27, 2018

Perompak kejut mangsa tidur

Perompak kejut mangsa tidur

REMBAU â€" Seorang suri rumah kerugian kira-kira RM40,000 apabila kediamannya di Kampung Paya Lebar, Pilin, di sini, dirompak empat lelaki bersenjata, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, mangsa berusia awal 50an bersama tiga orang anak, seorang menantu dan dua cucunya sedang lena tidur sebelum dikejutkan dengan kehadiran penyamun bertopeng yang melilit muka dengan kain.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam, pihaknya menerima aduan daripada anak mangsa melalui panggilan telefon kira-kira jam 3.40 pagi.

“Anak mangsa memaklumkan mereka sekeluarga baru sahaja menjadi mangsa rompakan dan kesemua penyamun melarikan diri bersama barangan kemas milik mereka.

“Berdasarkan siasatan, suspek dipercayai memasuki rumah melalui tingkap salah sebuah bilik dengan mengumpil cermin serta memotong jeriji tingkap. Kesemua suspek kemudian masuk ke bilik yang terdapat menantu dan cucu mangsa sedang tidur,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, salah seorang suspek mengejutkan menantu mangsa dan mengacukan parang di leher sebelum mengarahkan supaya menyerahkan kesemua barangan kemas.

“Suspek membawa menantu mangsa dan anak-anak mangsa ke bilik mangsa sambil meletakkan parang di leher menantu mangsa. Tangan mangsa, dua anak dan menantunya diikat menggunakan dawai dan kain. Tiga cucu mangsa berusia dua hingga lima tahun tidak diapa-apakan.

“Suspek menyelongkar bilik mangsa dan menemui wang yang disimpan dalam almari serta sebuah peti besi di bawah katil mangsa. Salah seorang suspek buka peti besi itu dengan pemutar skru dan ambil semua barang kemas di dalam peti besi itu.

Anuar Bakri berkata, kesemua suspek melarikan diri bersama tujuh utas rantai emas, 11 bentuk cincin emas, tiga bentuk loket emas, empat utas gelang tangan, sebentuk cincin emas putih, enam bentuk subang emas, dua buah telefon bimbit, seutas jam tangan serta wang tunai kira-kira RM700.

“Keempat-empat suspek disyaki warganegara Indonesia berikutan dialek yang digunakan dan suspek juga membawa parang, pemotong dawai dan pemutar skru.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana samun secara berkumpulan dan bersenjata. Polis juga ketika ini sedang giat mengesan kesemua suspek,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment