Syaratkan guna jentera khas tebang balak

Wednesday, June 27, 2018

Syaratkan guna jentera khas tebang balak

Syaratkan guna jentera khas tebang balak

KUALA NERUS - Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu akan mensyaratkan semua syarikat pembalakan di negeri itu menggunakan sepenuhnya kaedah 'log fisher' iaitu jentera khas untuk aktiviti penebangan balak mulai tahun 2020.

Pengarahnya, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, kaedah baharu itu akan menggantikan cara konvensional iaitu menggunakan bulldozer.

Menurutnya, kaedah baharu yang mula diperkenalkan sejak lima tahun lalu itu dilihat lebih mesra alam dan mampu mengurangkan kerosakan kepada hutan.

"Log fisher ini merupakan jentera khas untuk kerja-kerja pembalakan yang mana menggunakan kabel tanpa perlu bergerak dengan banyak untuk menarik pokok serta merosakan tanah atau pokok-pokok lain.

"Ia berbeza dengan cara konvensional iaitu menggunakan bulldozer yang perlu bergerak begitu hampir dengan pokok dan tentunya akan merosakan tanah dan kawasan sekitar.

"Jadi, pihak kami memutuskan untuk menyelaraskan penggunaan log fisher ini mulai tahun 2020 selaras dengan usaha untuk memulihara alam sekitar dan ekosistem hutan simpan,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pengagihan Anak Pokok di Batu Enam, di sini.

Menurut Ahmad Fadzil lagi, jentera khas yang bernilai RM1 juta itu boleh dibeli oleh syarikat pembalakan melalui beberapa syarikat yang menjalin kerjasama dengan jabatan itu.

"Walaupun harganya agak tinggi, namun ia sangat bermanfaat untuk digunakan syarikat pembalakan dalam melakukan aktiviti menebang pokok nanti,"katanya.

Sementara itu, jabatan berkenaan memberi perhatian khusus dalam menangani aktiviti pembalakan haram di Terengganu, meskipun kes masih terkawal.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment