6,020 kes penyakit dan keracunan pekerjaan dilapor

Wednesday, June 27, 2018

6,020 kes penyakit dan keracunan pekerjaan dilapor

6,020 kes penyakit dan keracunan pekerjaan dilapor

KUANTAN - Laporan oleh  majikan dan pegawai perubatan berhubung penyakit dan keracunan pekerjaan di negara ini kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) masih rendah apabila hanya 6,020  kes tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah JKKP (Kesihatan Pekerjaan), Ir Zailee Dollah berkata, berdasarkan kajian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di tempat kerja mendapati nisbah  kemalangan dengan penyakit dan keracunan pekerjaan  pada kadar 1:6.

Menurutnya, jika dibandingkan dengan statistik pelaporan yang diterima  JKKP  jauh lebih rendah daripada nisbah yang dikemukakan oleh ILO.

"Justeru, menjadi kewajipan dan tanggungjawab majikan untuk melaporkan berkenaan penyakit dan keracunan pekerjaan yang dialami oleh pekerja kepada JKKP.

"Selain majikan, menurut peruntukan perundangan, mana-mana pegawai perubatan yang merawat seseorang pesakit yang dipercayai menghidap penyakit atau keracunan pekerjaan juga perlu membuat pelaporan kepada JKKP," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Kesihatan Pekerjaan Peringkat Negeri Pahang di Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Indera Mahkota di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah JKKP Pahang, Mohamad Jais Suratman.

Zailee berkata,  pelaporan itu penting untuk menentukan punca berlakunya penyakit pekerjaan dan tindakan pencegahan dapat diambil segera supaya kejadian sama tidak berulang.

Beliau berkata, daripada 6,020 kes hanya 3,890 kes disahkan sebagai penyakit pekerjaan selepas siasatan lanjut dilakukan.

"Sebanyak 3,635 kes adalah penyakit kehilangan pendengaran disebabkan kebisingan pekerjaan, 127 kes masalah tulang-otot pekerjaan dan 73 kes penyakit kulit pekerjaan," katanya.

Katanya, amalan budaya kerja selamat dan sihat di tempat kerja perlu diterapkan dan diamalkan semua pihak bagi memastikan dan mencegah penyakit pekerjaan daripada berterusan berlaku di negara kita.

"Jika kesedaran mengenai perkara ini dipupuk daripada awal, secara tidak langsung langkah-langkah pencegahan awal dapat dilakukan. Namun demikian, langkah pencegahan ini hanya dapat dikenalpasti jika siasatan menyeluruh dilakukan bagi setiap kes penyakit dan keracunan pekerjaan," katanya.

 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment