Majlis terakhir bersama warga Jeli

Wednesday, June 27, 2018

Majlis terakhir bersama warga Jeli

Majlis terakhir bersama warga Jeli

JELI- Setelah hampir dua tahun menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Jajahan Jeli, Sabtu ini merupakan hari terakhir bagi Zulkifle Abd Rahman sebelum memulakan tugas di tempat baharu.

Malah tidak salah jika dikatakan Majlis Hari Raya Aidilfitri peringkat Jajahan Jeli 2018 kelmarin adalah program terakhir beliau bersama warga Jeli.

Zulkifle berkata, beliau akan memulakan tugas sebagai Ketua Jajahan Kuala Krai bermula 1Julai ini.

"Makluman mengenai pertukaran tersebut diterima minggu lalu. Ahad ini saya akan mulakan tugas di daerah baru," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada majlis hari raya berkenaan.

Majlis yang diadakan di pekarangan kediaman rasmi ketua jajahan itu dihadiri lebih 3,000 tetamu dengan penyertaan kira- kira 40 jabatan dan agensi kerajaan serta swasta di daerah ini.

Difahamkan Zulkifle yang juga Yang DiPertua Majlis Daerah Jeli (MDJ) memulakan tugas sebagai ketua kajahan pada 2016 dan banyak membantu membawa perubahan dalam pelbagai aspek termasuk suasana dan persekitaran di daerah ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai majlis berkenaan, Zulkifle berkata, ia merupakan acara tahunan dan diharap akan diteruskan pada masa- masa akan datang.

"Selain meraikan Syawal, ia juga bertujuan merapatkan hubungan antara masyarakat, jabatan- jabatan dan agensi yang ada di jajahan ini," katanya.

Tambahnya, majlis berkenaan tidak terhad kepada kakitangan jabatan atau agensi sebaliknya terbuka kepada semua warga Jeli.

"Kita turut menerima kehadiran wakil dari negara jiran, iaitu DO Sukirin dan Weng yang bersama- sama meriahkan majlis pada hari ini," katanya.

Sementara itu, DO Sukirin, Chaiyadet Palawon berkata, pihaknya berbesar hati dapat memenuhi undangan daripada Malaysia khususnya Jajahan Jeli ini.

Katanya, beliau bersama rombongan 20 orang termasuk ADO Pejabat DO Weng, Khalib Latif sebolehnya ingin memenuhi semua jemputan dari jajahan ini demi mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang terjalin sejak sekian lama.

"Hubungan antara Sukirin, Weng dan Jeli sudah begitu lama terjalin. Apa- apa majlis keraian yang diadakan di sana (Sukirin dan Weng) akan turut kami jemput wakil dari Jeli agar dapat sama- sama memeriahkannya, hubungan kami cukup baik," katanya.

Chaiyadet berkata, beliau gembira berkunjung ke majlis berkenaan apabila berpeluang menikmati rusa bakar yang merupakan hidangan paling popular di majlis berkenaan.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment