Bomba Perak siap sedia

Wednesday, June 13, 2018

Bomba Perak siap sedia

Bomba Perak siap sedia

TAPAH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menempatkan anggotanya di kawasan dikenalpasti panas dan berisiko tinggi kemalangan di kedua-dua laluan lebuh raya menghala utara dan selatan.

Pengarahnya, Datuk Yahaya Madis berkata, empat pondok sementara akan dibuka 24 jam di Tol Slim River, Tapah, Kuala Kangsar dan Kemunting bagi membolehkan bantuan kecemasan dapat beri respons segera kepada mangsa kemalangan.

Katanya, seramai 10 anggota termasuk pegawai  dengan jentera, Unit Bermotosikal Bomba (RIM) dan Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) ditugaskan di pondok berkenaan secara bergilir yang ditempatkan di laluan berisiko tinggi.

Yahaya (dua, kiri) beramah mesra dengan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Batang Padang yang berada di Tol Tapah, petang tadi.

“Langkah ini bertujuan memastikan bantuan kecemasan dan rawatan awal dapat diberikan dengan cepat kepada mangsa kemalangan sekali gus memendekkan masa respons bomba ke lokasi kemalangan.

“Jabatan ini juga membekukan cuti kepada  20 peratus daripada 1,200 pegawai dan anggota untuk bertugas di sepanjang Ops Raya ini yang bermula pada 8 hingga 22 Jun sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat pondok sementara di Tol Tapah, petang tadi.

Dalam pada itu, Yahaya  berkata, pihaknya akan berusaha untuk menurunkan kadar indeks Ops Raya pada kali ini.

Katanya, ini kerana pada tahun 2017 menunjukkan penurunan sebanyak 399 pelbagai jenis kes termasuk kebakaran, penyelamatan dan tugas khas  berbanding  pada 2016

Menurutnya, pada tahun 2016, pihaknya mencatatkan 626 kes dalam Ops Raya  menurun kepada 227 pelbagai jenis kes pada tahun 2017.

“Selain orang awam semakin peka dengan langkah pencegahan kebakaran  dan  berhati-hati ketika memandu, kehadiran jentera bomba di beberapa kawasan panas antara faktor indeks Ops Raya di Perak semakin menurun.

“Pada kali ini, kita target untuk menurunkan lagi indeks pelbagai jenis kes pada Ops Raya 2018,” katanya.

Beliau turut menasihati  untuk memastikan aspek berkaitan keselamatan perlu dititikberatkan dalam keghairahan pulang ke kampung.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa sabar dan bertimbang rasa ketika memandu kenderaan.

“Kediaman juga harus dipastikan dalam keadaan selamat. Suis utama elektrik dimatikan dan plug perkakasan elektrik yang tidak di gunakan haruslah dicabut dari soket,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment