Ibu bapa punca anak obes atau kerdil

Monday, April 2, 2018

Ibu bapa punca anak obes atau kerdil

Ibu bapa punca anak obes atau kerdil

KUALA LUMPUR: Malaysia kaya makanan, namun kegagalan ibu bapa menyediakan makanan berkhasiat dan mendisiplinkan anak mereka menyebabkan gejala tumbesaran yang tidak seimbang.

Akibatnya, segelintir kanak-kanak mengalami masalah obes manakala sesetengah yang lain terlalu kurus ataupun kerdil, sekali gus berkehendakkan kebertanggungjawaban dan tumpuan ibu bapa.

Ketua Dietatik Institut Jantung Negara (IJN), Mary Easaw, berkata ibu bapa lazimnya akan hilang tumpuan dalam menyediakan pemakanan berkhasiat apabila anak sudah ramai.

"Anak pertama biasanya kita menjaga dengan sempurna. Apabila anak sudah ramai, kita hilang fokus. Padahal kita sepatutnya memberi makanan berkhasiat kepada mereka dan kita perlu mampu untuk berbuat demikian.

"Sekarang ibu bapa juga tidak ada masa untuk duduk makan bersama anak. Malah sesetengah kanak-kanak didedahkan dengan makanan segera dan ais krim dari awal. Mereka diberikan makanan tiada khasiat, lama-kelamaan mereka hanya suka kepada yang manis," katanya kepada NSTP, hari ini.

Beliau diminta mengulas pemakanan ideal kanak-kanak supaya tumbesaran mereka seimbang dan dalam masa sama dapat mengelak daripada masalah kesihatan.

Sementara itu, perunding kesihatan, pemakanan dan kecergasan, Kevin Zahri berkata, ibu bapa perlu mengawal kuantiti pemakanan anak dan jangan menyerahkan tanggungjawab kepada pengasuh atau guru sekolah semata-mata.

"Ibu bapa tidak perlu terlalu mengehadkan pemakanan anak, cuma mengawal kuantiti makanan mereka. Biarkanlah mereka menjadi kanak-kanak.

"Saya sendiri mempunyai dua orang anak. Saya mengajar mereka mengenali dua jenis nutrien iaitu karbohidrat untuk bekalan tenaga dan protein untuk membesar. Kedua-dua sumber ini perlu dalam setiap hidangan," katanya.

Menurut laporan kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) baru-baru ini, Malaysia dikatakan mengalami masalah berlebihan dan kekurangan zat makanan secara beriringan.

Ini kerana, ada sesetengah kanak-kanak menderita kekurangan zat makanan, namun ada juga yang gemuk keterlaluan atau obes.

Ketua perunding untuk UNICEF, merangkap Ketua Ekonomi DM-Analytics, Dr Muhammed Abdul Khalid dipetik berkata, walaupun kadar kemiskinan negara kurang daripada satu peratus dan di Kuala Lumpur pula hampir berjaya dihapuskan, malangnya ia berbeza dengan hasil dapatan kaji selidik yang dijalankan UNICEF.

Katanya, Kuala Lumpur mempunyai pendapatan per kapita setaraf negara maju, tetapi kanak-kanak yang tinggal di perumahan kos rendah tidak mencapai tahap itu malah kaji selidik mendapati kira-kira 22 peratus kanak-kanak bawah umur lima tahun mengalami pertumbuhan terbantut, 15 peratus mengalami kurang berat badan dan 23 peratus obes.

Mengenai laporan kajian berkenaan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam ketika memberikan jawapan dalam sidang Dewan Rakyat pada 19 Mac lalu menegaskan, beliau sudah lihat kepada kajian UNICEF itu.

Beliau antara lain berpendapat mungkin isu berkenaan terjadi selepas dua tahun kelahiran, iaitu apabila mula tidak lagi di bawah pengawasan Kementerian Kesihatan.

Menurutnya, apabila ibu melahirkan anak di dalam sistem kerajaan, pengawasan terhadap mereka mula daripada apa yang dipanggil 'antenatal care' selepas ibu sudah mengandung sampai bersalin.

"Dari masa itu nasihat diberi oleh sistem perkhidmatan kesihatan kepada ibu yang akan bersalin seorang bayi. Selepas itu, untuk dua tahun pengawasan dibuat oleh sistem perkhidmatan kesihatan juga.

"Ini dibuat melalui kedatangan mereka kepada klinik-klinik kesihatan, selain daripada itu tiap-tiap anak itu sekurang-kurangnya sembilan kali kita akan lihat di dalam dua tahun ini untuk lihat kepada perkembangan mereka daripada segi fizik tubuh mereka dan apabila ada isu dan nasihat diberi secara berterusan.

"Contoh tentang keperluan untuk menyusu bayi ibu dan makanan tambahan yang kena diberi dan sebagainya. Selepas dua tahun hingga lima tahun ini pemantauan kita sudah kurang," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment