Perihal demam PRU14 dan Jho Low

Friday, March 16, 2018

Perihal demam PRU14 dan Jho Low

Perihal demam PRU14 dan Jho Low

*WALAUPUN tarikhnya masih menjadi teka-teki, semua orang percaya PRU14 semakin dekat â€" bahang dan demam pilihan raya semakin terasa.

Untuk meningkatkan lagi degree demam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan kenyataan yang membuatkan orang lebih yakin bahawa kita memangkah dalam masa terdekat.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah memberitahu media, kos PRU14 dianggarkan mencecah RM400 juta.

Demikianlah banyaknya duit rakyat yang dibelanjakan untuk memastikan pemilihan secara demokrasi terus dilaksanakan di negara ini.

Itu pun masih ada suara dan kempen sumbang supaya jangan keluar mengundi, dan rosakkan undi. Jadilah insan bertanggungjawab, dengan keluar mengundi.

*KALAU mengikut Mohd Hashim, SPR sudah bersiap sedia, dan boleh melaksanakan tugas sekali pun PRU14 diadakan sehari dua lagi!

Kata beliau, semua pusat penamaan calon, pusat mengundi dan pusat mengira undi telah dikenal pasti dan sedia untuk digunakan.

Sejumlah 250,000 petugas sementara, dijangka diperlukan bagi membantu mengendalikan PRU14 itu.

Dalam pada itu SPR menjangkakan 100,000 wakil atau ejen calon bertanding akan menjadi pemerhati tetap terhadap segala proses pilihan raya. Ini adalah untuk memastikan proses RRU14 berlangsung secara telus dan adil.

Wakil-wakil ini terdiri daripada pemerhati di borang semakan SPR, ejen tempat mengundi (ETM) yang bertugas sebagai pemerhati semasa proses pengundian berlangsung dan ejen mengira undi (EMU) yang bertugas semasa proses pengiraan undi.

Pendek kata wakil-wakil ini boleh melihat sendiri macam mana semua proses dibuat. Itu pun ada yang menuduh pilihan raya kita tidak telus.

*BANYAK pihak â€" termasuk kerajaan dan pembangkang â€" berkata PRU14 adalah paling mendebarkan, paling sengit. Dia orang kata ini ibu segala pilihan raya.

Pada hemat saya setiap pilihan raya adalah mendebarkan. Daripada PRU1 hingga PRU13, tidak ada yang tidak sengit, semua mendebarkan.

Usahkan pilihan raya umum, pilihan raya kecil pun tetap mendebarkan. Jika ada pemilihan pasti ada ketegangan dan debaran membuak-buak.

Hatta, pemilihan dalam Gegar Vaganza dan Maharaja Lawak Mega pun penuh debar.

*SEPERTI biasa setiap kali pilihan raya, ada sahaja pihak yang menuduh SPR tidak telus, SPR berat sebelah, SPR tipu. Pendek kata SPR semua tidak betul.

Maka agensi tersebut ditohmah macam-macam, lebih-lebih ketika demam ibu segala pilihan raya sedang marak sekarang. SPR jadi sasaran pembangkang pagi-petang, siang-malam.

Tetapi, keputusan pilihan raya menunjukkan banyak calon pembangkang menang, dan undi popular pembangkang semakin meningkat. Malah, beberapa negeri jatuh kepada pembangkang...

*OLEH sebab komen ikhlas beliau terhadap Jho Low, Tan Sri Dr Rais Yatim mendapat tekanan orang kuat parti dan menteri, agar meletakkan jawatan.

“Silalah letak jawatan jika tidak boleh bertindak sebagai menteri dan menggunakan saluran yang betul,” kata seorang pemimpin kanan Umno.

Seorang menteri kanan yang juga dilihat sebagai wira Umno pula menganggap Rais sebagai gila ‘meroyan’.

Semuanya gara-gara Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, mantan menteri dan veteran Umno itu menganggap Jho Low sebagai ‘pemutar alam.’

Rais hairan kenapa sesetengah orang terlalu takut untuk komen atau menegur laksawan Cina yang menetap di luar negara, dan dikaitkan dengan 1MDB itu.

Menurut Rais, Malaysia sudah cukup menjadi objek sindiran dunia akibat tukang putar alam berkenaan, tetapi orang tempat kita macam hendak menjaga sangat Jho Low...

*AKHIR kalam, keputusan SPM diumumkan, dan pelajar yang memperoleh banyak A menjadi fokus semua orang. Ibu bapa yang anak-anak dapat banyak  A pun tumpang glamor.

Mereka yang mendapat A dalam semua subjek pun berkongsi petua kejayaan. Dan macam-macam teori dikemukakan mengenai cara-cara mendapat banyak A.

Tahniah kepada mereka yang cemerlang mendapat semua A. Tetapi yang tidak dapat walau satu A janganlah pula terlalu kecewa sehingga menganggap kehidupan sudah tidak bererti.

Percayalah walau pun tidak dapat A, masih ada kehidupan, masih ada seribu harapan.

A dalam SPM bukan penentu masa depan.

Ada ramai di luar sana yang berjaya tanpa sebarang A. Yakinlah!

 

TOK PERAK



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment