Pasaran modal Malaysia meningkat
PASARAN modal Malaysia meningkat 12.6 peratus kepada RM3.2 trilion pada 2017 dengan pertumbuhan kukuh dilihat di semua segmen, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Katanya, pasaran modal menyaksikan pertumbuhan dua angka di seluruh segmen dengan pasaran ekuiti naik 14.4 peratus kepada RM1.9 trilion, Bon dan Sukuk meningkat 10.1 peratus kepada RM1.3 trilion dan pasaran modal Islam naik 11.9 peratus kepada RM1.9 trilion, hampir kepada 60 peratus daripada keseluruhan pasaran modal.
Pertumbuhan tersebut 2.4 kali Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan merupakan kelima terbesar di Asia, menurut SC dalam laporan tahunan 2017 yang dikeluarkan hari ini.
Pengerusinya, Tan Sri Ranjit Ajit Singh, dalam taklimat laporan tahunannya, berkata pertumbuhan dalam semua segmen itu disebabkan asas ekonomi yang kukuh, pemulihan pendapatan yang berterusan, penjanaan modal untuk pembiayaan infrastruktur, aliran masuk asing yang positif dengan aliran masuk bersih sebanyak RM17.6 bilion, dan tahap penyertaan yang lebih tinggi.
âPasaran modal mencatatkan pertumbuhan yang kukuh dalam semua segmen dan terus memainkan peranan utama dalam pembentukan modal dan pembiayaan ekonomi Malaysia, selain pada masa sama menawarkan pelbagai peluang kepada pelabur seperti dilihat daripada tahap penyertaan yang tinggi.
âKami akan terus memastikan ekosistem yang mudah dan pengawalseliaan untuk menggalakkan kepercayaan dan keyakinan dalam pasaran, katanya.
Ranjit berkata pengumpulan dana juga amat kukuh pada tahun lepas, mencatatkan paras tertinggi sebanyak RM146.6 bilion, iaitu melebihi purata lima tahun sebanyak RM114 bilion.
Ini menunjukkan pengukuhan pasaran modal dan keupayaan yang berterusan untuk menyediakan saluran yang mudah dan berkesan untuk meningkatkan modal, katanya.
Terbitan bon korporat dan sukuk sebanyak RM124.9 bilion pada 2017 turut melebihi paras RM100 bilion untuk kali pertama sejak 2012, manakala pengumpulan dana melalui pasaran ekuiti meningkat kepada RM21.7 bilion pada tahun lepas berbanding RM12.8 bilion pada 2016.
Beliau berkata bagi pasaran ekuiti, RM7.2 bilion diraih melalui 12 tawaran awam permulaan dan RM14.5 bilion lagi diperoleh dalam pasaran ekuiti sekunder untuk pengembangan perniagaan dan pengukuhan lembaran imbangan.
Ranjit berkata pasaran turut menyaksikan pertumbuhan kukuh dalam industri pengurusan dana yang meningkat 11.5 peratus dengan aset di bawah pengurusan sebanyak RM776.2 bilion berbanding RM696.3 bilion pada 2016.
Pertumbuhan tersebut didorong oleh pengembangan industri unit amanah, yang melonjak sebanyak 19.1 peratus kepada RM427 bilion dari segi nilai aset bersih (NAV) dan menyaksikan jualan bersihnya meningkat kepada RM45.2 bilion pada 2017 berbanding RM26 bilion pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata, minat turut meningkat terhadap skim persaraan swasta dengan keahliannya naik kepada 301,000 dengan NAV sebanyak RM2.2 bilion.
Mengenai masa depan, pengembangan ekonomi global yang berterusan akan memberi pengaruh yang positif kepada pasaran modal, terutamanya kepada pasaran sedang pesat membangun yang menyaksikan minat yang berterusan, katanya.
âPasaran modal Malaysia dijangka terus teguh dan kompetitif susulan asas ekonomi yang kukuh dan unjuran pendapatan yang lebih tinggi,â kata Ranjit.
Beliau menjangka pengumpulan dana akan mencecah RM120 bilion dalam pasaran domestik pada tahun ini, dengan bon korporat dan sukuk menyumbang kira-kira RM100 bilion daripada jumlah pengumpulan dana, manakala baki melalui pasaran modal ekuiti.
SC turut menjangka tawaran awam permulaan pada tahun ini kira-kira RM8 bilion, meningkat daripada RM7.2 bilion pada 2017 dengan RM12 bilion diraih melalui pasaran sekunder, katanya.
Ranjit berkata walaupun pengumpulan dana dianggarkan lebih rendah berbanding RM146.6 bilion yang diraih tahun lepas, pasaran masih dianggap kukuh berikutan ia masih melebihi purata RM114 bilion. -Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment