Kanak-kanak parah disyaki didera

Monday, March 12, 2018

Kanak-kanak parah disyaki didera

Kanak-kanak parah disyaki didera

AMPANG JAYA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun parah mengalami pendarahan serius di kepala dipercayai didera kenalan ibunya dalam kejadian di sebuah rumah di Pandan Perdana di sini, semalam.

Mangsa dihantar ke Hospital Ampang oleh dua lelaki tempatan kira-kira jam 6.30 petang semalam dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ketika dirawat di Zon Merah hospital terbabit, pemeriksaan turut mendapati ada kesan lebam pada dahi, dada dan betis kanan kanak-kanak itu, dipercayai akibat didera.

Siasatan awal mendapati dua lelaki terbabit mengaku sebagai kenalan ibu kanak-kanak itu dan mendakwa mangsa mengalami sawan ketika berada dalam tandas dan terjatuh sendiri ketika hendak membuang air besar.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias, berkata ibu kanak-kanak itu yang juga seorang warga Indonesia, menyerahkan anaknya kepada suspek berusia 56 tahun untuk dijaga sementara dia bekerja sebagai pembantu rumah di Kampung Cheras Baru.

"Ketika mangsa berada dalam jagaan suspek, ibunya ada membuat panggilan video pada 18 Februari lalu dan mendapati anaknya tidak ceria dan terlihat kesan lebam pada tubuhnya.

"Semalam, wanita berusia lingkungan 40-an itu dihubungi oleh suspek memberitahu anaknya jatuh sendiri dalam bilik air sewaktu hendak membuang air besar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, selepas memberitahu kanak-kanak itu berada di Hospital Ampang, suspek dipercayai menutup telefon bimbitnya kerana ibu mangsa gagal menghubunginya semula.

"Usaha untuk mengesan dan menangkap suspek kini sedang dilakukan dan buat masa ini, mangsa belum sedarkan diri serta masih menerima rawatan.

"Kita juga masih menjalankan siasatan lanjut berhubung tindakan ibu mangsa meninggalkan kanak-kanak itu dalam jagaan suspek," kata beliau.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian dan penderaan kanak-kanak.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment