'Keganasan Islam' tidak wujud - Sultan Nazrin
KUALA LUMPUR: Langkah mengaitkan Islam dengan keganasan adalah kesilapan besar yang boleh mengelirukan masyarakat dunia dengan maksud sebenar agama itu.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah istilah 'keganasan Islam' tidak pernah wujud, malah jauh bertentangan dengan maksud sebenar Islam iaitu keamanan.
"Keamanan dan keganasan tidak mungkin bergerak seiring. Kumpulan pengganas mengaitkan diri mereka dengan Islam semata-mata untuk mencemari ajaran Islam bagi menghalalkan kekejaman yang dilakukan.
"Kebanyakan kumpulan pengganas ketika ini cenderung kepada Islam dan ia bermula sejak awal abad ini susulan pergolakan di Asia Barat.
"Contoh paling ketara adalah Al-Qaeda dan Daesh, namun ia bukan selalunya begitu. Malah, dalam era terdahulu, perlakuan keganasan lebih banyak dikuasai pergerakan seperti di Ireland, kumpulan pelampau Tamil dan komunis.
"Bagaimanapun, mereka tidak mengaitkan diri dengan mana-mana agama berbanding kumpulan membabitkan Islam, malah Daesh mendakwa ingin membentuk khalifah Islam," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Dialog ASEAN-Australia 2018 bertajuk 'Cabaran kerjasama demi keselamatan dan kemakmuran dalam suasana tidak menentu' di Sydney, Australia, hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, Islam bukan sekadar menjadi panduan hidup di akhirat, tetapi juga kehidupan duniawi.
Seiring kebangkitannya di tengah-tengah gelombang konflik dan perang kabilah, baginda bertitah, Islam menetapkan aturan pertempuran yang banyak persamaannya dengan undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan moden.
Antara lain, titah baginda, Islam membenarkan umatnya mengangkat senjata demi mempertahankan diri, keluarga dan sanak-saudara, harta benda dan wilayah.
Bagaimanapun, kebenaran itu diseleweng pengganas dengan menjadikan orang awam sebagai sasaran di kawasan konflik dan negara lain, khususnya ke atas mereka yang didakwa menyerang umat Islam.
"Golongan ini dengan jelas mencabuli kesucian peraturan dan larangan Islam kerana agama melarang kanak-kanak, wanita, orang tua dan orang sakit dibunuh serta rumah ibadat dimusnahkan.
"Unsur terpenting penting dalam menghapuskan keganasan ialah menentang naratif songsang pengganas.
"Turut perlu diberi keutamaan ialah menangani akar umbi permasalahan yang membawa kepada keganasan di zon konflik dan perlakuan kejam di seluruh dunia," titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, memerangi kegasanan dan ekstremisme menjadi antara agenda utama kerangka keselamatan serantau Asia Pasifik manakala Australia dan ASEAN seiring memperjuangkan usaha ini sebagai satu matlamat.
Baginda bertitah, ASEAN sedia bekerjasama dengan semua rakan dialognya dalam melaksanakan agenda meningkatkan keamanan dan kemakmuran serantau.
"Australia adalah satu daripada rakan akrab ASEAN dan amat komited dalam menjayakan matlamat ini, sejajar persamaan dari segi cabaran dihadapi serta kesungguhan mencapai sasaran ditetapkan.
"Kita meyakini konsep multilateral dan institusi berkesan membabitkan kerjasama serantau, berdasarkan dialog dan persefahaman bersama.
"Paling utama, kita senada dalam menentang penggunaan kekerasan kecuali sebagai langkah terakhir untuk bertindak balas terhadap ancaman," titah baginda.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment