Dikasari polis: Dua kertas siasatan dibuka

Thursday, June 14, 2018

Dikasari polis: Dua kertas siasatan dibuka

Dikasari polis: Dua kertas siasatan dibuka

IPOH â€" Polis membuka dua kertas siasatan masing-masing di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 24 Akta Polis berhubung kes seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dikasari anggota polis dalam satu kejadian, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, kedua-dua seksyen itu memperuntukan siasatan dijalankan ke atas anggota polis terlibat serta penuntut berkenaan.

Menurutnya, dalam kejadian 3.15 pagi itu, lelaki berusia 23 tahun mengatakan telah ditumbuk dan ditampar anggota ketika memberhentikan kenderaannya berhampiran Hospital Sungai Siput selepas berlaku adegan kejar-mengejar sejauh hampir tujuh kilometer.

“Anggota terlibat telahpun dikenalpasti dan satu kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibuka atas kesalahan dengan sengaja mendatangkan cedera.

“Bagaimanapun dalam hal ini, lelaki berkenaan turut akan disiasat kerana tidak mematuhi peraturan diberikan pasukan keselamatan. Apabila diarahkan berhenti, dia sepatutnya berhenti agar tidak timbul kesangsian atau salah tanggapan.

”Seperti kejadian ini, kesalahan dilakukan bukanlah kes besar hanya melanggar lampu isyarat melibatkan kes saman sahaja,” katanya kepada pemberita, semalam.

Kes terbabit tular di media sosial selepas lelaki berkenaan membuat aduan kepada Biro Pengaduan Awam DAP.

Terdahulu, Yahya ditemui pada Majlis Pelancaran Op Selamat 13 peringkat Kontinjen Perak, disempurnakan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan yang turut dihadiri Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Datuk Ab Wahab Azizul Hassan dan Pengurus Wilayah Utara PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz.

Hasnan berkata, sepanjang tempoh empat hari kempen dijalankan, Perak telah menunjukkan penurunan membanggakan berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, jumlah kemalangan menurun sebanyak 19 kes, kemalangan maut (2) serta kematian akibat nahas sebanyak satu kes.

“Berdasarkan statistik ini, kita boleh simpulkan Op Selamat 13 memberi kesan positif terhadap keselamatan jalan raya,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment