Tak tolak penarikan tauliah sebab bakal jadi calon

Thursday, April 19, 2018

Tak tolak penarikan tauliah sebab bakal jadi calon

Tak tolak penarikan tauliah sebab bakal jadi calon

SHAH ALAM - Pendakwah terkemuka, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani tidak menolak kemungkinan tindakan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menarik tauliah mengajarnya sebelum ini mempunyai kaitan dengan pemilihannya sebagai calon Pas untuk PRU14.

Menurutnya, pihaknya yakin wujud 'tangan politik' di sebalik tindakan Mais terhadapnya itu selepas menghidu dia bakal menjadi calon pada kali ini.

"Ya saya merasakan demikian selepas mereka dapat hidu saya bakal jadi calon di Shah Alam.

"Kalau tidak kenapa diadakan tindakan tersebut yang seolah-olah sengaja mencari salah saya," katanya ketika diminta mengulas mengenai penarikan tauliah terhadapnya sebelum ini dengan pemilihannya sebagai calon di Dun Kota Anggerik.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengisytiharan calon Pas PRU14 Selangor, di Perkim Village, Seksyen 8, di sini malam tadi.

Ahmad Dusuki salah seorang daripada tiga selebriti yang diketengahkan Pas untuk bertanding di kerusi Dun, Ahmad Dusuki di Dun Kota Anggerik; Mohd Zamri Mohd Zainuddin yang terkenal sebagai pengacara program mengaji bersama kanak-kanak di Dun Sungai Burong dan Nushi Datuk Mahfodz di Dun Bangi.

Pada masa sama, Ahmad Dusuki yang berasal dari Pahang itu menyerahkan perbuatan pihak tertentu terhadapnya kepada ALLAH.

"Saya berserah kepada ALLAH orang yang melaksanakan kerja-kerja tersebut, InsyaALLAH... mereka merancang, ALLAH juga merancang yang sebaiknya," katanya.

Ketika ditanya peluang cerah untuk menang ekoran dia selebriti yang dikenali umum, beliau berkata, dia tidak merasakan dirinya dikenali ramai.

"Saya cukup takut dan bimbang jika saya tidak dikenali di sisi ALLAH dan malaikat-malaikat tak kenal saya.

"Jika ada orang yang kenal saya dan berbuat baik pada saya, saya bersyukur pada ALLAH, mana-mana orang yang kenal saya dengan benda buruk, saya minta berlindung dengan ALLAH dari segala keburukan," katanya.

Terdahulu, pada 21 Mac lalu Mais menggantung tauliah mengajar pendakwah terkemuka, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani berkuat kuasa serta merta.

Pemakluman itu dibuat menerusi satu surat rasmi yang ditandatangani Setiausaha Jawatankuasa Tauliah Mais, Mohd Shahzihan Ahmad.

Kemudiannya pada 12 April, Mais membuat keputusan Ahmad Dusuki dibolehkan terus memegang tauliah mengajar agama Islam atau apa-apa mengenai Islam di dalam Selangor.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment