ASN dijenamakan semula
BATU PAHAT: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat unit amanah Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan penjenamaan semula semua unit amanah harga berubah di bawah pengurusannya.
Nama baharu itu ialah Amanah Saham Nasional (ASN), ASN Ekuiti 2, ASN Ekuiti 3, ASN Imbang 1, ASN Imbang 2 dan ASN Sara 1.
Sebelum ini, semua unit amanah harga berubah berkenaan dikenali sebagai ASN, ASN2, Amanah Saham Gemilang (ASG) Kesihatan, ASN3, ASG Pendidikan dan ASG Persaraan.
Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata penjenamaan semula semua unit amanah harga berubah itu bagi memudahkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang lebih sesuai dengan matlamat, usia dan toleransi risiko masing-masing bagi meraih pulangan maksimum.
Beliau berkata, penjenamaan semula semua tabung berkenaan akan berkuat kuasa pada 1 Mei ini namun ia tidak akan memberi kesan kepada ciri unik setiap tabung seperti kelayakan pelaburan dan modal pelaburan permulaan.
Katanya, penjenamaan semula unit amanah harga berubah berkenaan meletakkan semua produk itu dalam tiga kategori baharu iaitu Ekuiti, Aset Campuran Seimbang dan Aset Campuran Konservatif.
"Pembahagian kategori ini dibuat berdasarkan pendedahan risiko tabung berkenaan yang mana tabung kategori Ekuiti menumpu lebih kepada pasaran saham, tabung kategori Seimbang melabur dalam aset campuran seimbang, manakala tabung kategori Konservatif membuat pelaburan dalam aset campuran konservatif.
"Sejajar penjenamaan semula ini, semua nama unit amanah harga berubah ASNB ditukar dan kini membawa jenama ASN dalam nama tabung masing-masing. Pengekalan nama ASN bertujuan memudahkan pelabur sekali gus mengukuhkan lagi jenama ASN yang kini mencapai usia 37 tahun.
"Unit-unit amanah ASN, ASN2 dan ASG Kesihatan yang berada dalam kategori Ekuiti dinamakan semula sebagai ASN, ASN Ekuiti 2 dan ASN Ekuiti 3.
"Bagi ASN 3 dan ASG Pendidikan yang berada dalam kategori Seimbang, dinamakan semula sebagai ASN lmbang 1 dan ASN lmbang 2 manakala ASG Persaraan yang dimasukkan dalam kategori Konservatif dijenamakan semula sebagal ASN Sara 1," katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi pembentangan pada majlis pelancaran Penjenamaan Semula Tabung Unit Amanah Harga Berubah ASNB, di Stadium Batu Pahat, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin.
Abdul Wahid berkata, unit tabung amanah dalam kategori Ekuiti seperti ASN, ASN Ekuiti 2 dan ASN Ekuiti 3 sesuai untuk golongan muda kerana ia adalah tabung dengan tahap risiko tinggi yang menjanjikan peluang untuk meningkatkan modal secara maksimum.
"Tabung dalam kategori Seimbang iaitu ASN lmbang 1 dan ASN lmbang 2 pula sesuai untuk mereka yang berada dalam usia pertengahan iaitu awal 40-an yang inginkan pertumbuhan sederhana dan berterusan dalam pelaburan.
"Tabung kategori Konservatif iaitu ASN Sara 1 pula sesuai untuk mereka yang berada di awal persaraan dan mempunyai toleransi risiko yang rendah malah setiap tabung akan membangunkan strategi perumpukan aset yang menumpu kepada prestasi yang ditetapkan dan sejajar dengan penanda aras baharu iaitu FBM100 dan deposit tetap 12 bulan, akan digunakan, " katanya.
Abdul Wahid berkata, kesemua tabung berkenaan dijangka mampu memberi pulangan mapan dan lebih baik berbanding pesaing namun pada masa sama tidak akan menjejas fokus dan keupayaannya memberi pulangan keseluruhan tahunan dan terkumpul untuk jangka sederhana dan panjang.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment