Sultan Johor lancar Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor
JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan melancarkan Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor (TLJCC) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (PERSADA), hari ini.
Turut berangkat, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che' Puan Khaleeda Bustamam serta putera dan puteri baginda.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri Singapura, Ho Ching; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Dalam titahnya, Sultan Ibrahim menyifatkan pembinaan pusat kanser itu begitu signifikan dan sebagai memenuhi impian Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil untuk membantu mereka yang menghidap kanser mendapatkan rawatan.
"Saya dan keluarga akan menyambung impian Almarhum Tunku Abdul Jalil dan kami akan memastikan legasi Almarhum ini diteruskan dan kami akan melakukan yang terbaik untuk membantu dan menyokong pesakit kanser seramai mana yang boleh," titah baginda dalam nada sebak.
Baginda turut berharap dengan adanya pusat kanser itu, membolehkan pesakit kanser mendapat rawatan dengan kemudahan terbaik di Johor Bahru dan seterusnya turut membantu pesakit daripada golongan yang memerlukan.
"Ini sebabnya, sejumlah wang yang diterima hospital ini akan disalurkan kepada pesakit kanser yang memerlukan dan keluarga mereka. Kami mahu hospital ini memberi manfaat kepada penghidap kanser yang kurang berkemampuan serta keluarga mereka," titah baginda.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Asian American Medical Group (AAMG), Datuk Dr Tan Kai Chah, berkata TLJCC itu akan dibina di Iskandar Puteri di sini, dan diterajui oleh AAMG yang juga sebuah syarikat berasaskan kesihatan dari Singapura.
Katanya, TLJCC adalah sebuah institusi perubatan swasta yang dibina khusus untuk rawatan, penyelidikan dan pendidikan mengenai kanser yang mana operasinya dijangka bermula penghujung 2020 dengan fasa satu yang membabitkan kemudahan diagnostik dan rawatan kanser terkini.
"Fasa pertama pusat kanser ini membabitkan kos pembangunan kasar kira-kira RM300 juta dengan keluasan 14,000 meter persegi yang mana dalam kapasiti penuh, mampu merawat hingga 7,000 pesakit setahun.
"Fasa kedua pula akan merangkumi perkhidmatan pesakit dalaman termasuk bahagian patuh Syariah yang khusus bagi wanita," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment