Sokongan luar bandar terhadap BN masih kuat, utuh
BERA: Masyarakat luar bandar masih lagi menjadi simpanan tetap bagi Barisan Nasional (BN) berikutan sokongan golongan berkenaan tetap utuh meskipun pembangkang cuba meracuni pemikiran mereka.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan pembangkang menyebarkan pelbagai cerita tidak betul dan melemparkan fitnah kepada kerajaan dilihat tidak cukup kuat untuk mempengaruhi masyarakat luar bandar.
Katanya, kerajaan tidak pernah meminggirkan masyarakat luar bandar dalam setiap projek pembangunan dilakukan dan mereka banyak menikmati segala manfaat daripadanya.
"Sokongan mereka masih lagi kuat kepada BN dan tidak terpengaruh dengan segala dakyah serta khabar angin dibawa pembangkang kerana mereka melihat dan merasai sendiri apa yang kerajaan lakukan selama ini.
"Saya dapat simpulkan masyarakat luar bandar khususnya di kawasan FELDA masih menjadi kubu kuat BN," katanya pada sidang media selepas majlis Pengisytiharan Keuntungan Boleh Agih 2017 Peserta FELCRA Berhad di Dewan Kompleks Rakan Muda, di sini, hari ini.
Ismail Sabri berkata, tindakan pembangkang khususnya Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengeluarkan kenyataan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan China termasuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) boleh memberi kesan besar kepada masyarakat Melayu luar bandar.
Katanya, China kini menjadi prospek baharu untuk pelaburan negara termasuk menjadi rakan pengimport minyak kelapa sawit negara selepas ada ura-ura Kesatuan Eropah (EU) mahu mengenakan larangan import komoditi itu ke pasaran Eropah menjelang 2021.
"Apabila Dr Mahathir dengan lantang mahu menyekat pelaburan dari China, tidak mustahil negara berkenaan akan bertindak balas dengan membatalkan import kelapa sawit.
"Jika keadaan itu berlaku, sudah pasti ia memberi kesan kepada pekebun kecil termasuk peserta FELCRA dan peneroka FELDA," katanya.
Beliau berkata, pihak pembangkang hanya mempergunakan Dr Mahathir dalam usaha memecahkan sokongan dan undi masyarakat luar bandar.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment