Remaja rogol sepupu dipenjara 10 tahun
KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan terhadap seorang remaja lelaki selepas didapati bersalah merogol sepupunya berusia 15 tahun, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Nurchaya Arshad menukarkan hukuman itu terhadap tertuduh yang berusia 19 tahun selepas menyemak semula keputusan Mahkamah Sesyen sebelum ini.
Terdahulu, pada prosiding di Mahkamah Sesyen sebelum itu, Hakim Azreena Aziz memerintahkan tertuduh dimasukkan ke Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Husna Abdul Halim kemudian membuat rayuan di Mahkamah Tinggi untuk menyemak semula keputusan itu.
Nurchaya kemudian menegaskan hukuman diputuskan sebelum ini tidak memadai berbanding kesalahan dilakukan tertuduh memandangkan rogol adalah kes yang berleluasa dan kepentingan awam harus diutamakan.
Tertuduh yang memakai baju dan seluar putih yang mulanya tenang, gagal menahan air mata sebaik hukuman itu dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kampung di Kuala Penyu pada hujung November 2014.
Remaja itu dituduh mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara antara lapan hingga 30 tahun serta 10 sebatan. Tertuduh diwakili peguam Nelson Angang.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment